Saturday, June 5, 2010

Batal lesen judi sukan, kuat kuasa undang-undang ketat





















KUALA LUMPUR, 5 Jun :
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini mendesak Kabinet menarik balik lesen judi sukan, sebaliknya menguatkuasakan undang-undang judi kerana gejala sosial itu akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

Pengerusinya, Azmi Abdul Hamid berkata tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan itu akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi, sosial dan juga keselamatan.

“Secara jelas judi ini akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat, malah meruntuhkan mutu sukan negara, mendorong rakyat bergantung kepada nasib, menurunkan produktiviti negara dan meruntuhkan institusi keluarga.

“Selain itu, ia juga akan meningkatkan gejala sosial, meningkatkan kadar jenayah, meningkatkan beban hutang rakyat, meruntuhkan ekonomi negara dan juga menyalahi semua agama.

“Justeru, hari ini kita menuntut kerajaan supaya menarik balik lesen judi sukan serta menguatkuasakan undang-undang judi dan pada masa yang sama mendidik masyarakat supaya membenci judi,” kata beliau ketika pelancaran Kempen Membantah Judi di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo dekat sini.

Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bergabung tenaga untuk membantah tindakan kerajaan itu.

NGO yang terlibat termasuk Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan Teras Perpaduan Melayu (Teras), Dewan Pemuda Masjid, Angkatan Belia Islam Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Satu Nama, Jemaah Islah Malaysia dan Jamaiy.

Turut sertai ialah Pengerak Belia Tempatan MPK, Budayawan Bertindak, Seniman Paksi Rakyat, Persatuan Anak-anak Peneroka Felda, Nisa Malaysia, Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia, Persatuan Dharma Sakyamuni, Relawan, Pusat Aduan Rakyat Kempas, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Dewan Pemuda Pusat dan juga Pertubuhan Anak Melayu Selangor Darul Ehsan Wilayah Persekutuan.

Selain itu Pemuda DAP (DAPSY) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menyertai gerakan tersebut.

Turut menyertai pelancaran kempen tersebut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat.
“Melalui kempen ini mesej akan dapat disalurkan dengan jelas kepada masyarakat mengenai kesan judi.
“Justeru semua pihak perlu sedar akan keburukan judi kepada masyarakat terutamanya generasi muda,” kata Azmi yang juga Pengerusi Teras.

Azmi berkata satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada semua ahli Parlimen pada 15 Jun ini.

“Tujuan khusus kita serahkan memorandum itu untuk meminta semua ahli Parlimen menyokong bantahan terhadap judi sukan.

“Kemuncak kempen ini pada 3 Julai di mana kita akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

GMJ dibentuk bagi menggerakkan rakyat untuk turut sama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung bulan ini.
Selepas pelancaran itu, semua pemimpin pembangkang dan NGO mengedarkan risalah kepada orang ramai.

No comments: