Wednesday, June 23, 2010

SU Politik baru MB Selangor


SHAH ALAM, 23 Jun : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara rasmi mengumumkan pelantikan Faekah Husin sebagai Setiausaha Politiknya yang baru bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan memulakan tugas sebagai Pengarah Penerangan dan Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Faekah yang merupakan anak kelahiran Telok Panglima Garang, merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya sebelum diterima masuk sebagai Penguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau juga merupakan rakan kongsi firma guaman Faekah & Choung dan turut memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor (UNISEL) dan menjadi Setiausaha Syarikat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) selain menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita Keadilan Bahagian Kuala Langat.

Khalid dalam sidang medianya selepas pengumuman itu turut mengucapkan tahniah kepada Nik Nazmi yang bakal memikul tugas yang lebih mencabar bagi menjana parti sebagai parti utama dalam Pakatan Rakyat (PR) agar dapat diurus dengan baik.

“Mulanya saya masih mengharapkan beliau (Nik Nazmi) kekal mengalas tugas sebagai setiausaha politik, namun memandangkan tugas dalam parti sangat mencabar, saya memberi peluang beliau melepaskan jawatan.

“Bagi saya Nik Nazmi mempunyai potensi kepimpinan politik yang sangat baik pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai pelantikan Faekah, Abdul Khalid berkata, setiausaha politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dan juga politik.

“Saya gembira dikelilingi oleh rakan-rakan reformasi yang sama-sama berjuang untuk rakyat. Saya juga berterima kasih kepada Faekah kerana sudi menerima jawatan baru ini walaupun saya percaya bidang guaman memberi lebih keselesaan kepada beliau.

“Apa yang saya harapkan ialah kedua-duanya (Faekah dan Nik Nazmi) yang datang dari kumpulan reformasi ini dapat bekerjasama untuk memastikan tujuan kami sebagai kumpulan yang mahukan perubahan dari segi pentadbiran dan arah mana negara ini ingin dibawa tercapai,” katanya yang turut mengakui Nik Nazmi dan Faekah adakah dua individu yang tidak boleh dipersoalkan integriti mereka.

Sementara itu Faekah dalam ucapan ringkasnya menganggap jawatan baru yang disandang sebagai cabaran baru untuk beliau mempelajari perkara baru.

“Saya ucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk sama-sama menerokai fasa 2 perjuangan reformasi. Saya ada bertanya MB apa KPI setiausaha politik? dan MB menjawab KPI ahli politik adalah rakyat. Kita perlu tunaikan janji dan bela nasib rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai tugas beliau sebagai setiausaha politik kepada Wan Azizah, Faekah berkata, beliau hanya sempat memberitahu mengenai pelantikan itu kepada Wan Azizah melalui emel.

“Presiden parti tidak mempunyai halangan mengenai pelantikan ini. Dan saya akan terus berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada beliau sehingga Presiden melantik setiausaha politik yang baru untuk saya serahkan tugas,” katanya.SH

No comments: