Wednesday, June 23, 2010

Tahlil Perdana Almarhum Dato' Fadzil Noor


POKOK SENA, 23 Jun : Muasasah Darul Ulum (MDU) tidak melupakan jasa pengasasnya apabila mengadakan Majlis Tahlil Perdana Bersama Ulama sempena lapan tahun pemergian Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang diadakan pada hari ini di Masjid MDU jam 8 malam.

Pegawai MDU, Mohd Zikri Zakaria berkata, program itu dibuka kepada orang ramai untuk turut serta selain mengalu-alukan sesiapa yang mahu turut menyertakan nama arwah waris mereka untuk dibaca bersama di dalam majlis berkenaan.

Menurutnya, sejak lapan tahun lalu, MDU tidak pernah melupakan jasa pengasasnya yang membuka tempat pengajian Islam khusus kepada mereka yang mahu mempelajari bidang agama.

“Hari ini MDU terus gagah berdiri dalam melahirkan ilmuwan Islam dan kami bersyukur masyarakat terus memberi sokongan kepada kewujudan tempat ini selain menjadi tempat aktiviti kemasyarakatan berkumpul dari semasa ke semasa.

"Sempena pemergian arwah Fadzil Noor, kita mengadakan majlis tahlil yang melibatkan masyarakat selain membuka kepada orang untuk menyertakan nama arwah waris untuk dibaca bersama dalam majlis itu,” katanya.

Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pada 23 Jun 2002 selepas kira-kira dua minggu menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Mohd Zikri berkata, selain turut menyertakan nama waris untuk dibaca bersama di majlis itu, masyarakat juga boleh menyampaikan sumbangan untuk tujuan kebajikan dan amal jariah.

“Program ini juga bermatlamat untuk memperkenalkan MDU kepada masyarakat luar dan usaha ini berterusan sejak dari dahulu lagi selain mengadakan program seperti majlis tahlil ini,” katanya.

Tambahnya, beliau mengalu-alukan masyarakat untuk hadir pada malam ini selain mendengar ceramah yang akan disampaikan penceramah jemputan.SH

No comments: