Sunday, August 15, 2010

Belasah dulu baru saman



ALOR MENGKUDU, 16 Ogos :
Seorang remaja yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen di Kuala Ketil mendakwa tiba-tiba didatangi empat lelaki lalu memukulnya menggunakan topi keledar sebelum mengeluarkan saman kesalahan lalu lintas yang dilakukan pada Rabu lalu.

Keadaan itu menyebabkan tangan kanan Mohd Asri Ismail, 18, patah.


Mohd Asri ketika menceritakan kejadian itu berkata, pada hari kejadian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam, dia didatangi kumpulan lelaki tanpa memberitahu punca sebenar tindakan itu dilakukan.

Dakwanya, dia yang tidak sempat menanyakan punca tindakan itu dilakukan hanya mengelak daripada terkena pukulan di bahagian kepala.

“Saya langsung tidak sedar dari mana dan sejak bila saya diekori oleh kumpulan lelaki berkenaan yang tiba-tiba memukul saya dengan menyatakan motosikal yang saya tunggang tidak mempunyai kelengkapan dan saya lari daripada sekatan yang dilakukan.

“Selepas saya dipukul barulah tiga saman dikeluarkan atas sebab saya tidak memiliki lesen memandu, menunggang secara merbahaya dan tidak mempunyai cermin sisi,” katanya.

Dakwanya, pada malam kejadian itu, dia bukan sahaja dipukul malah topi keledar miliknya juga ditukar dengan topi keledar milik salah seorang lelaki daripada kumpulan itu.

Mohd Asri berkata, dia yang membantu ibunya dalam perniagaan membuat keropok kini, dia tidak mampu berbuat demikian kerana tidak boleh melakukan kerja berat.

Bapa Mohd Asri, Ismail Ali, 52, berkata, dia amat kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan lelaki berkenaan yang menjalankan operasi pada malam itu sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurutnya, tidak salah sekiranya mereka mahu menyaman anaknya namun tidak sewajarnya kumpulan itu bertindak sehingga menimbulkan kecederaan.

“Tindakan yang mereka lakukan terhadap anak saya ini terlalu kejam sedangkan kalau saya pukul dia pun dianggap satu kesalahan.

“Jadi, saya berharap agar siasatan terhadap kes ini dijalankan segera kerana saya tidak mahu kejadian yang sama telah berlaku pada anak saya berulang kepada orang lain,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Asri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, laporan terhadap kes itu akan diteliti dan siasatan akan dijalankan.

Menurutnya, tindakan akan diambil terhadap anggota itu sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati anggota terbabit melakukan tindakan berkenaan.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati anggota itu bersalah, kita akan mengambil tindakan kerana kita tidak akan berkompromi dengan anggota yang bertindak sedemikian.

“Namun, kita memang mempunyai anggota polis sukarela dan kuasa yang diberikan kepada mereka sama seperti anggota polis lain,” katanya.SH

No comments: