Tuesday, August 10, 2010

PR telus, BN jerlus, rakyat boleh fulus


SHAH ALAM , 10 Ogos : Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari percaya tiada sebarang penyelewengan berlaku dalam aktiviti perlombongan pasir yang dijalankan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) di negeri ini.

Beliau berkata, ia berikutan setiap aktiviti perlombongan dan urusan jual beli pasir melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri itu didokumenkan.


Katanya, UMNO yang menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga gagal membuktikan berlakunya ketirisan dalam KSSB.

“KSSB bersikap telus dan mengikut prosedur ditetapkan sejak dilantik menguruskan perlombongan pasir di negeri ini.

“Kita yakin dengan kewibawaan KSSB walaupun syarikat itu kerap disiasat SPRM, tetapi tidak ada bukti kukuh menunjukkan berlaku penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan hasil kutipan pasir KKSB kepada 368 Ketua Kampung tradisi seluruh Selangor, di sini, semalam.

Yaakob berkata, KSSB merupakan syarikat kerajaan yang profesional serta tidak menerima sebarang penyelewengan atau salah laku dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar polisinya.

“KKSB telah melaksanakan polisi serta garis panduan telus untuk menyekat amalan rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ganjaran RM5,000 diberikan kepada individu yang berjaya menangkap dan membantu melumpuhkan kegiatan mencuri pasir, beliau berkata, ia merupakan satu cadangan yang efektif dalam membanteras aktiviti tersebut.

Justeru katanya, pihaknya mengharapkan kerjasama semua pihak bagi membanteras kegiatan berkenaan dan ganjaran akan ditawarkan kepada mereka sehingga pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri itu, ditahan.

”Mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab dalam kegiatan mencuri pasir ini perlu mengemukakan bersama bukti kukuh seperti peralatan dan jentera yang digunakan untuk mencuri pasir,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan hasil kutipan pasir berjumlah RM660,000 kepada ketua-ketua kampung tradisi seluruh negeri Selangor di sini, semalam.

Menurutnya, sumbangan berkenaan merupakan keuntungan 10 peratus daripada aktiviti perlombongan pasir dijalankan KSSB di negeri ini.

“Dengan adanya sumbangan ini, diharap Jawatankuasa Keselamatan kampung (JKKK) dapat menganjurkan program-program komuniti di kampung masing-masing,” katanya.SH

No comments: