Wednesday, August 25, 2010

Kerajaan PR Selangor buktikan ketelusan



















SHAH ALAM, 25 Ogos :
Kerajaan Selangor akan mengedarkan Surat Pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pengeluaran surat sokongan oleh wakil rakyat dan ahli majlis.


Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, berkata surat pekeliling itu bertujuan mengarahkan PBT supaya tidak mengambil kira surat sokongan dalam pemberian kontrak atau tender kepada sesebuah syarikat kontraktor.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor juga telah meminta Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri untuk menghasilkan rangka garis panduan membabitkan pengeluaran surat sokongan.

“Garis panduan ini akan memberi definisi yang jelas apa yang dimaksudkan hubungan kekeluargaan, saudara mara, adik beradik antara pihak yang mengeluarkan surat sokongan dengan pemilik atau pekerja syarikat yang disyorkan.

“Garis panduan ini juga akan membolehkan Ahli Majlis mempertahankan diri jika didakwa melakukan kesalahan salah guna kuasa atau penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, hari ini.

Menteri Besar sekali lagi menegaskan Ahli Majlis tidak digalak mengeluarkan surat sokongan berunsur perniagaan kecuali surat sokongan untuk bantuan kebajikan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan Jabatan Audit Negeri mengenai surat-surat sokongan yang telah dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya selepas laporan penuh diperoleh yang dijangka dalam waktu terdekat ini.

Menteri Besar berkata, pengeluaran surat sokongan adalah budaya yang diwarisi dari pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan sukar untuk dihapuskan dalam sekelip mata. Malah, surat sokongan masih diperlukan untuk bantuan kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan surat sokongan tidak disalah guna untuk kepentingan kroni.

No comments: