Wednesday, August 25, 2010

Rakyat diajak bersama bangunkan Selangor


SHAH ALAM, 26 Ogos : Majlis dialog Pelan Selangor Blueprint 2011-2013 anjuran kerajaan negeri untuk memperolehi maklumbalas berhubung permasalahan yang dihadapi dan cadangan memperbaiki mutu kehidupan warga Selangor mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat.

Majlis dialog yang berkonsepkan 'townhall meeting' atau perjumpaan majlis tempatan akan diadakan di seluruh negeri Selangor bagi tujuan tersebut.

"Jika kita inginkan satu 'blueprint' yang baik dan mantap, ianya haruslah mengambil kira kepentingan dan pendapat daripada semua golongan berkepentingan dan pelbagai lapisan masyarakat," kata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Mohd Noor.

Berucap di majlis dialog yang diadakan di Shah Alam Ahad lalu, beliau menjelaskan golongan berkepentingan ini termasuklah golongan pendokong industri (industry players), peniaga, pemimpin masyarakat setempat, pegawai kerajaan, kelompok muda serta golongan usia emas.

Pelan Selangor Blueprint (Pelan Hala Tuju) bagi tempoh 2011-2013 merupakan satu usaha kerajaan Pakatan selangor untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dengan pendekatan mesra rakyat.

Buat julung kali dalam sejarah negeri Selangor, pembentukan Selangor Blueprint ini melibatkan siri pembentangan awam di setiap 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun (NGO) tempatan, pemimpin industri, badan keagamaan, Ahli Majlis serta individu berpengaruh telah dijemput untuk menghadiri sesi dialog bagi membincangkan tiga teras utama.

Ini termasuk pembangunan, infrastruktur dan dasar ekonomi sebagai teras pertama, urus tadbir baik dan ketelusan dalam teras kedua dan yang ketiga isu sosial dan pembangunan masyarakat.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir pada sesi dialog mereka boleh menyalurkan pendapat dan pandangan melalui e-mel kepada selangor.blueprint@gmail.com atau memberi cadangan terus di laman web Facebook pada profil “Selangor Blueprint 2011-2013 Consultation Process”.
Kerajaan negeri juga telah menyediakan semua maklumat berkenaan Pelan Selangor Blueprint di dalam laman web rasmi, www.selangor.gov.my.

Dalam satu kenyataan media, kerajaan negeri berkata urus tadbir yang baik dibina daripada prinsip dan juga tindakan.

Pelan Selangor Blueprint 2011-2013 memberi peluang untuk menegaskan komitmen Pakatan Rakyat kepada rakyat melalui kerajaan negeri.

Melalui dasar dan program strategik, ia mampu membantu kerajaan negeri mengenalpasti kaedah cepat untuk menangani isu yang berbangkit.

Kerajaan negeri berharap idea dan maklumbalas berkenaan isu yang dihadapi di setiap lokasi akan dapat dimaklumkan supaya tindakan segera dapat diambil bersama cadangan untuk isu mikro dan pada peringkat negeri.

No comments: