Tuesday, August 17, 2010

Kesal layanan buruk polis


KUALA LUMPUR , 18 Ogos : PAS kesal kerana menerima layanan buruk daripada pihak berkuasa ketika mengadakan ceramah di Markas PAS Sungai Tongkang, Batu Pahat, Johor dan di Felcra Bandar Seberang Perak, Pasir Salak, Perak pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

Yang Dipertua PAS kawasan Lenggong, Perak, Razman Zakaria berkata, lokasi ceramah di Pasir Salak adalah milik persendirian yang telah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah dan pihaknya telah memohon kebenaran sebanyak dua kali daripada pihak berkuasa di Balai Polis Kampung Gajah.


“Malangnya, dalam ceramah diadakan 31 Ogos lalu, seramai 16 orang ditahan termasuk tiga orang ditahan reman sebelum dibawa ke balai polis berkenaan.

“Seramai 13 individu terdiri daripada petugas dilepaskan malam itu manakala tiga ditahan reman kerana didakwa membuat gangguan dan membawa senjata sedangkan petugas itu membawa pisau kecil untuk memotong tali,” katanya ketika menyerahkan memorandum kepada Suhakam di Pejabat Suhakam, di sini, semalam.

Beliau berkata, perhimpunan itu seolah-olah cuba menyekat pihaknya daripada menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan kesemua ditahan mendakwa mereka diperlakukan secara kasar oleh beberapa anggota polis.

Dalam kejadian di Markas PAS Sungai Tongkang, Batu Pahat, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan hampir sama berlaku dan alasan yang dikemukakan tidak munasabah dan tidak konsisten.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, alasan keselamatan negara tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk satu tindakan tidak berasas.

Beliau berkata, dalam mesyuarat suruhanjaya lepas, pihaknya bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan perkara itu.SH

No comments: