Tuesday, August 17, 2010

Perkasa tak periksa




















SHAH ALAM, 18 Ogos : Pengurusan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) berkata pihaknya menggunakan pendekatan perniagaan dalam membenarkan mana-mana pihak kemudahan premis mereka, tetapi syaratnya perlu menjaga sensitiviti pelbagai pihak.


Sehubungan itu, pengurusan SACC mendakwa pihaknya tidak tahu akan pelan sebuah gereja mengadakan persembahan drama Kristian seperti didakwa Perkasa.

Menurut Pengerusi Siera Management Sdn. Bhd., syarikat yang menguruskan SACC, Datuk Muhammad Adan, pihaknya hanya mengetahui perkara itu ekoran laporan The Malaysian Insider berhubung aduan polis dibuat Perkasa, semalam.

Malah kata beliau, perkara itu sebagai bukan isu kerana tempahan gereja tersebut telah pun dibatalkan beberapa hari lalu.

“Tidak ada apa-apa. Dia pun dah batalkan program itu. Tiada isu yang patut timbul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider semasa ditemui pada majlis berbuka puasa di SACC malam tadi.

Menurut beliau, SACC bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan dan akan membenarkan penggunaan prasarananya seperti diminta pelanggan.

Bagaimanapun beliau tetap mengambil kira sensitiviti masyarakat tentang apa yang berlaku dalam premis SACC.

“Pendirian kita ialah kita tidak mendiskriminasikan pelanggan tetapi dalam masa yang sama kita juga akan lihat sensitiviti masyarakat kalau ia bercanggah dengannya.

“Saya perlu hormati undang-undang dan perlembagaan persekutuan yang juga undang-undang terpenting dalam negara ini,” jelas beliau.

Ditanya pendapat beliau mengenai permintaan dan memorandum Perkasa itu, Muhammad mengambil sikap neutral.

“Tiada komen. Kami bertindak sebagai entiti perniagaan dan tidak berniat terlibat dalam sebarang polemik,” tegasnya lagi.

Pengerusi Perkasa Daerah Petaling Zainal Abidin telah membuat laporan polis terhadap Gereja Grace Shah Alam dan Pastor Joseph Marcose yang didakwa mereka mahu mengadakan pementasan drama bertajuk “Harapan” di SACC 4 September ini.

Perkasa mendakwa gereja tersebut melakukan kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang Islam Selangor dan Perlembagaan Persekutuan yang menyekat penyebaran agama lain kepada orang Islam.

Bagaimanapun Marcose menafikan perkara tersebut dan mengatakan pementasan drama itu dilakukan di dewan tertutup dan hanya untuk golongan bukan Islam.

Malah beliau berkata pementasan itu telah pun dibatalkan kerana ia musim cuti panjang dan ramai ahli gereja tersebut bercuti panjang.

No comments: