Tuesday, August 3, 2010

Polis rancang tindakan biadap


SHAH ALAM , 3 Ogos : Angkatan Muda KEADILAN Malaysia mengecam keras tindakan polis yang melakukan intimidasi melampau ke atas beberapa program yang melibatkan penyertaan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat serta aktivis anti Akta Keselamatan Dalam Negeri pada hari Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau menyifatkan tindakan terbaru polis itu sebagai biadap dan telah dirancang rapi oleh polis ketika percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke luar negara.

"AMK melihat, di sebalik percutian 10 hari Perdana Menteri, beberapa perkembangan yang berlaku, termasuklah penahanan Tun Dr Ling Liong Sik terdahulu dan pengharaman akhbar rasmi KEADILANdan DAP, kesemuanya merupakan sesuatu yang telah dirancang rapi, ditambah dengan intimidasi polis ke atas program anjuran KEADILAN dan Pakatan Rakyat secara keras dan konsisten mutakhir ini," ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Menurutnya, Umno-Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib kini dilihat begitu lemah lalu terpaksa menggunakan polis dan instrumen kerajaan bagi mengekang kemaraan Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun.

Beliau mengulas tindakan polis terhadap program anjuran Keadilan di Batu Pahat, Johor dan Sungai Rambai pada 31 Jun lalu yang dicemari insiden keganasan polis yang secara biadap membawa trak FRU dan gerombolan anggotanya menujah masuk ke dalam program berkenaan.

Manakala pada 1 Ogos lalu, polis sekali bertindak ganas dengan menahan sekurangnya 36 aktivis anti ISA di seluruh negara kerana mengadakan perhimpunan aman membantah akta zalim ISA bersempena 50 tahun ia dikuatkuasakan oleh kerajaan Umno-BN.

Kesemua mereka di tahan di Petaling Jaya, Selangor, Ipoh, Pulau Pinang dan Kelantan.

Antara yang ditahan ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin, setiausaha GMI Nalini Elomalai dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan ketika mengadakan perhimpunan di Dataran Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya.

Shamsul berkata, tindakan polis itu bukan sahaja dilakukan secara biadap dan tidak profesional, malah melanggar peraturan penguatkuasaan dengan membuat tangkapan secara melulu.

"Ini berikutan program di Johor dan Melaka dianjurkan di dalam premis persendirian dan tidak melibatkan tempat awam, malah tempat program di Melaka juga telah dicadangkan oleh polis sendiri.

"Demikian juga di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, meskipun dengan kehadiran peguam dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut hadir memantau penahanan aktivis, kehadiran mereka ini tidak dipedulikan langsung oleh polis, sekaligus menunjukkan kebiadapan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh polis selaku penguatkuasa undang-undang," kata Shamsul lagi.

Tambah beliau, siri intimidasi ini juga jelas membuktikan KEADILAN dan Pakatan Rakyat merupakan satu ancaman terbesar bagi Umno-BN yang mahu tradisi membodohkan rakyat diteruskan bagi menafikan hak rakyat mendapat maklumat alternatif, berhimpun dan bersuara.

Justeru katanya, AMK menggesa agar pihak polis membersihkan institusi PDRM daripada kawalan politik Umno-BN dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi itu.

"Jangan pasung mentaliti rakyat daripada menerima maklumat alternatif yang mendedahkan salahlaku dan penyelewengan yang sekianlama dilakukan oleh Umno-BN. AMK menyatakan komitmen untuk membawa perkara ini kepada Suhakam agar siri-siri intimidasi ini boleh dihentikan. Rakyat perlu bersatu untuk hentikan tradisi membodohkan rakyat yang sedang digerakkan oleh Umno-BN," tegas beliau.

No comments: