Tuesday, August 3, 2010

Umno, Utusan pakar putar belit cerita



































SHAH ALAM, 3 Ogos :
Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menganggap kenyataannya berhubung penarikan balik diskaun sebanyak tujuh peratus ke atas pembelian hartanah mewah dan komersial oleh golongan bumiputera telah diputarbelitkan oleh Umno dan lidah rasminya, Utusan Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, Tony berkata beliau tidak berniat meniupkan sentimen perkauman dengan membangkitkan hak keistimewaan kaum bumiputera seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

Sebaliknya kata beliau, cadangannya perlu dilihat dari perspektif pengagihan ekonomi yang lebih adil dan bukan berasaskan dasar yang hanya memberi keistimewaan kepada golongan kaya.

"Minggu lepas, saya telah dicerca Utusan Malaysia dan pemimpin Umno kerana menyarankan salah satu langkah untuk memperbaharui keyakinan pelabur dalam polisi ekonomi negara iaitu melupuskan diskaun bumiputera ke atas pembelian hartanah mewah dan komersial.

"Dalam cadangan saya, saya tidak mempunyai niat meniup sentimen perkauman atau mengambil hak-hak bumiputera seperti dijelaskan dalam perlembagaan. Saya lihat dasar ini dengan tegas dari perspektif keadilan pengagihan ekonomi,"katanya.

Beliau memberi gambaran bahawa seseorang yang membeli hartanah bernilai RM2 juta di bawah dasar yang lama akan mendapat keuntungan RM140,000 sekiranya diskaun 7 peratus dikekalkan. Berbanding golongan berpendapatan lebih rendah yang membeli hartanah bernilai RM100,000 umpamanya, hanya menerima kelebihan diskaun sebanyak RM7,000.

Katanya, keadaan itu hanya memberi lebih manfaat kepada golongan kaya dan bukan rakyat terbanyak atau majoriti kaum melayu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mengingatkan beliau supaya tidak “bermain dengan api” berhubung isu itu. Ahmad Maslan dakwanya cuba menggunakan Perlembagaan Persekutuan dan “kontrak sosial” bagi mengekalkan dasar diskaun pemilikan hartanah berdasarkan kaum.

Tony membidas sikap pemimpin Umno dan Utusan malaysia yang cuba mempolitikkan isu itu dengan memberi gambaran yang salah berhubung kenyataan beliau.

Katanya, perkara itu jelas bertentangan dengan ucapan perdana menteri pada 30 Mac lalu yang menjamin bahawa pengagihan ekonomi melalui Model Ekonomi Baru berasaskan merit dan 'mesra pasaran' tanpa mengutamakan dasar sasaran kaum atau sistem berasaskan kuota.

"Umno, melalui lidah rasminya Utusan Malaysia dan Datuk Seri Najib memilih bersikap perkauman dan mempolitikkan isu ini, membangkitkan kemarahan sentimen perkauman untuk mencapai tujuan politik dan ekonomi jangka pendek.

Menurutnya lagi, keadaan itu menyebabkan pelabur asing dan tempatan dikelirukan dengan dasar-dasar yang tidak selari dengan pelaksanaan kerajaan seperti yang diperkenalkan dalam MEB dan Rancangan Malaysia Ke-10.

Menurutnya sekiranya kerajaan tidak mampu melakukan pembaharuan dasar dalam MEB, perdana Menteri dan pemimpin Umno perlu berhenti bersikap berpura-pura dengan melaksanakan satu model ekonomi kononnya berteraskan "mesra pasaran dan berdasarkan merit”.

"Ia hanya akan membuktikan kepada pelabur-pelabur yang kerajaan hanya bercakap tetapi tiada tindakan dan bahawa Barisan Nasional sama sekali tidak mampu membawa perubahan dan kurang transformasi yang dikehendaki untuk membawa kita ke status negara maju sebelum 2020," kata beliau lagi .

No comments: