Saturday, September 18, 2010

Cuti 16 September kejayaan Pakatan


TRONOH , 18 Sept. : Sambutan Hari Malaysia yang baru diperkenalkan tahun ini bukan sekadar cuti umum semata-mata, sebaliknya ia perlu dihayati semua masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, Hari Malaysia perlu disambut dengan meriah bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.


Menurutnya, beliau mendakwa sejarah Malaysia terbentuk pada 16 September 1965, namun sehingga tahun lalu tarikh itu tidak diberi keistimewaan seperti sambutan 31 Ogos.

“Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf sepenuhnya Hari Malaysia untuk disambut oleh seluruh rakyat negara ini dengan memberikan tekanan dan desakan terhadap kerajaan untuk membuka tirai menyambut Hari Malaysia.

“Atas desakan itu, maka kerajaan mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti umum malah kerajaan sedar dan menjadikan pertikaian yang diungkit PR sebagai satu pedoman untuk diambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis sambutan Hari Malaysia di DAP Cawangan Kampung Baru Bemban, Batu Gajah.

Hadir sama, ADUN Menglembu, Lim Pek Har; Yang Dipertua Pas Kawasan Batu Gajah, Ismail Ariffin; Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Gajah, Anthony R Vijaya; Pengerusi DAP dari cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PR.

Sivakumar berkata, pemberian cuti umum itu adalah satu kejayaan besar kepada usaha PR dalam menanam semangat Malaysia dalam kalangan rakyat.

“Semangat Malaysia ini penting kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan bagi menjamin kesejahteraan serta kemajuan negara.

“Kita tidak mahu rakyat berpecah belah, oleh itu, PR Batu Gajah telah menganjurkan sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia Untuk Rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh dibangunkan atas nama fahaman perkauman dan dipisahkan mengikut lokasi geografi.

“Pada 16 September kita mempunyai Sabah dan Sarawak yang menjadi sebahagian daripada nadi negara dan ia tidak boleh dianggap sebuah lokasi berlainan daripada Semenanjung Malaysia,” katanya.

Katanya, semua pihak harus setia dan mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala bentuk ancaman apatah lagi mahu melihat Malaysia bebas daripada jenayah, rasuah, kronisme dan nepotisme.SH

No comments: