Friday, September 3, 2010

Kerajaan Umno bakal roboh bangunan Pasti dan surau
















BUKIT KATIL, 3 Sept:
Penduduk Kampung Bukit Katil membantah pembinaan jalan baru yang menghubung jalan utama ke beberapa buah taman melalui Lorong Datuk Demang Hussein, di sini.

Lorong tersebut akan dibesarkan saiznya dan pembesaran itu akan menyebabkan bangunan Pasti Jaya Insan dan surau akan dirobohkan.

Tindakan pihak berkuasa dilihat tidak logik kerana jika benar lorong tersebut hendak dibesarkan mengapa ianya tidak menggunakan tanah kosong di sebelahnya yang tidak membabitkan perobohan Pasti dan Surau.

Malah jika benar jalan baru itu hendak dibina adalah lebih baik ianya dibina di atas tanah berhadapan dengan Klinik Desa Kampung Bukit Katil kerana ianya tidak akan melibatkan rumah dan bangunan-bangunan lain.

Perancangan itu seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk menghapuskan bangunan Pasti dan surau yang telah lama dibina.

Pasti Jaya Insan amat berjasa kepada masyarakat setempat kerana ia menjadi pusat pendidikan kanak-kanak prasekolah manakala surau menjadi tempat menimba ilmu agama yang sentiasa mendapat sambutan penduduk setempat.

Kelas-kelas pengajian agama hampir setiap malam diadakan di samping kuliah subuh dan juga lain-lain program kemasyarakatan.

Tindakan pihak berkuasa yang dilihat sengaja memasukkan bangunan Pasti dan surau mengundang bantahan hebat dari penduduk setempat.

Mereka berpendapat jika jalan tersebut dibina dengan tidak melalui tapak Pasti dan surau jalan tersebut akan lebih lurus.

Mengapa pula pihak berkuasa sengaja ingin membina jalan yang bengkok sedangkan jalan lurus lebih baik dan mudah.

Bantahan awal telah dizahirkan oleh penduduk setempat pada 31 Ogos lalu apabila kira-kira 150 orang penduduk berkumpul beramai-ramai di seberang jalan berhadapan Masjid Bukit Katil menyatakan rasa tidak puas hati di samping mereka menyambut Hari Merdeka.

Mereka menurunkan tandatangan masing-masing pada sebuah kain pemidang menyatakan rasa tidak puas hati tentang cadangan pihak berkuasa itu.

Sementara itu, PAS Cawangan Bukit Katil dan Bukit Bayan telah membentuk Jawatankuasa Bertindak menentang projek tersebut di mana Ketua PAS Cawangan Bukit Katil, Mohd Yassin Abdul Ghani telah dilantik menjadi pengerusinya.

Jawatankuasa itu telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam beberapa hari lepas bagi menyampaikan bantahan awal.

Dalam perjumpaan tersebut Ketua Menteri telah memberikan pelbagai alasan yang tidak logik tentang pembinaan jalan tersebut. Jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat secepat mungkin bagi merangka tindakan seterusnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab berkata tindakan pihak berkuasa itu sebenarnya berniat jahat dan mereka menghalalkannya atas nama pembangunan.

"Mengapa mereka sengaja membuat jalan di kawasan itu sedangkan banyak tanah kosong lain yang tidak melibatkan bangunan dan ianya lebih lurus boleh diambil.

"Jelas mereka sebenarnya busuk hati dan berdendam dengan kita, mereka sakit hati melihat surau dan Pasti ini diimarahkan oleh penduduk setempat.

"Kita akan menentang projek ini dengan pelbagai cara dan saluran," jelas Yusof yang juga Penyelia Dun Bukit Baru.

No comments: