Monday, September 27, 2010

Mustaffa tentu nasib sendiri


IPOH, 28 Sept. : Kekalahan Mustafa Kamil Ayub pada pemilihan untuk jawatan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Salak Sabtu lalu, tidak menggugat kedudukannya sebagai Pengerusi Negeri mahupun sebagai calon Timbalan Presiden.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR, Dr Lee Boon Chye berkata, ia terpulang kepada Mustafa untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasratnya ataupun tidak.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Perak berkata, setakat ini kepimpinan negeri mempunyai keyakinan terhadap Mustafa untuk terus menerajui parti itu di peringkat negeri.

“Justeru, kekalahan Mustafa yang juga Naib Presiden PKR Pusat kepada Osman Abdul Rahman bagi merebut jawatan Pengerusi Cabang Pasir Salak Sabtu lalu bukanlah satu isu besar yang merencatkan masa depan politiknya.

“Namun, segala-galanya terpulang di tangan Mustafa untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Pakatan Rakyat (PR) di sini, malam kelmarin.

Boon Chye menyatakan perkara itu bagi mengulas kekalahan mengejut Mustafa di Pasir Salak Sabtu lalu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gopeng berkata, kekalahan itu sama sekali tidak menjejaskan proses pencalonan yang dibuat beberapa Cabang untuk Mustafa mengisi jawatan Timbalan Presiden.

“Saya yakin dan percaya perwakilan PKR mempunyai persepsi berbeza terhadap Mustafa dan kekalahan itu adalah sebahagian dari proses politik,” katanya.

Pada mesyuarat perwakilan Cabang Pasir Salak 25 September lalu, Mustafa yang memperolehi 94 undi tewas kepada Osman yang juga bekas Pengerusi Negeri yang mendapat 111 undi.SH

No comments: