Tuesday, September 7, 2010

Tindakan MAIS keterlaluan, tidak beri peluang



SHAH ALAM, 7 Sept. : Tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengambil alih pentadbiran surau Al-Huda, Kajang Sentral berikutan kontroversi kononnya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memberi ucapan politik berkuat kuasa serta merta adalah tindakan drastik.

Bekas Pengerusi surau berkenaan, Azemi Ahmad berkata, seharusnya Mais memberi peluang kepada jawatankuasa surau terlebih dahulu seperti mengeluarkan surat amaran atau peringatan berhubung insiden tersebut bukannya terus mengambil alih pentadbiran surau.

Menurutnya, ekoran tindakan itu, pihaknya akan menghantar surat rayuan kepada Mais selepas Aidilfitri bagi memohon penjelasan dan diberi peluang mentadbir semula surau berkenaan.

“Penduduk dilihat pada dasarnya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana dibuat secara drastik. Sejak pentadbiran surau diambil alih, kemakmuran surau dilihat makin kurang.

“Bilangan penduduk yang datang ke surau semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, kelmarin.

Tambah Azemi, kunjungan Nie Ching ke surau berkenaan bukan atas dasar politik dan tidak menyampaikan ‘tazkirah politik’ seperti yang dilaporkan sebuah media arus perdana.

“Jawatankuasa surau tidak berpihak pada mana-mana parti politik. Kunjungan YB Teo ke surau berkenaan adalah kerana memberi peruntukan kewangan sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu menunjukkan rasa hormat kepada beliau dengan menjemput beliau masuk bagi tujuan pemberian peruntukan tersebut. Tiada langsung sebarang ‘tazkirah politik’ diadakan pada masa itu.

“Akhbar berkenaan membuat fitnah dengan menyatakan YB Teo memberi tazkirah politik sedangkan ia tidak berlaku,” katanya.

Ekoran itu, pihak jawatankuasa surau sebelum ini sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 27 Ogos lepas.

Ditanya tentang kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Khusrin Munawi berhubung hukum sudah menetapkan orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid, Azemi bagaimanapun menyatakan, pihaknya sama sekali tidak bersetuju.

“Pada zaman Nabi dahulu, orang bukan Islam boleh masuk masjid, surau bahkan mereka boleh makan dan tinggal di sana,” katanya.SH

No comments: