Friday, October 8, 2010

DAP buat laporan polis


IPOH. 8 Okt. : DAP Perak telah membuat laporan polis menafikan sekumpulan 30 pemuda yang terlibat dalam demonstrasi di pekarangan Wisma DAP di sini, kelmarin sebagai ahli parti itu.

Naib Presidennya, A Sivanesan berkata, dakwaan kumpulan itu kononnya mereka ahli DAP Cawangan Buntong juga dinafikan dan keadaan ini direka untuk mengancam perpaduan dalam DAP.

“Dakwaan mereka adalah ahli DAP Cawangan Buntong, tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka ahli di kawasan ini. Mereka ini hanya menyamar.

“Ini direka oleh satu kumpulan yang hendak mengancam perpaduan dalam DAP. Kita tidak akan membenarkan mereka mengancam perpaduan kami,” katanya dalam sidang media selepas laporan polis dibuat Pengerusi DAP Cawangan Taman Pertama, Buntong, Tang Yaw Hooi di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, dan A Subramaniam, ADUN Tronoh, V Sivakumar.

Sivanesan yang juga ADUN Sungkai berkata, M Kulasegaran juga tidak mengetahui tindakan kumpulan itu setelah menghubungi beliau yang berada di Nepal.

“Kula ada cakap dengan saya dari Nepal, beliau tidak tahu mengenai hal ini. Kula tiada kena mengena dengan perkara ini dan begitu juga dengan ahli DAP lain terutama tiga ADUN India iaitu saya, Buntong dan Tronoh.

“Kami dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini. Mereka mempunyai agenda buat kacau dan kita minta polis siasat siapa mereka ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya terkejut apabila mendapat tahu demonstrasi itu dibuat tanpa kehadiran polis walaupun media telah berkumpul di kawasan berkenaan.

“Laporan polis telah dibuat untuk meminta menyiasat identiti mereka dan tindakan perlu diambil secepat mungkin tanpa mengamalkan pilih kasih dalam perkara ini. Adakah mereka ada permit atau tidak.

“Jika mereka bukan ahli DAP, mereka tiada hak untuk menyoal isu DAP atau adakan protes di depan pejabat DAP. Polis perlu siasat siapakah dalang di sebalik insiden ini,” katanya.SH

No comments: