Friday, October 8, 2010

Perletakan jawatan AJK PAS Pendang diterima



PENDANG, 8 Okt. ; Seramai 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS kawasan Pendang yang menghantar surat peletakan jawatan sejak 27 September tidak hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa PAS kawasan itu yang diadakan di Pejabat Pas Gajah Mati, malam kelmarin.

Sinar Harian difahamkan sebahagian AJK yang meletak jawatan itu tidak hadir ke mesyuarat berkenaan tanpa memaklumkan sebab mereka tidak hadir walaupun surat panggilan dihantar kepada mereka.

Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, mesyuarat pada malam itu tetap diteruskan walaupun AJK yang meletakkan jawatan tidak hadir.

Menurutnya, mesyuarat juga sebulat suara menerima peletakan jawatan AJK berkenaan .

“Ahli Jawatankuasa PAS kawasan yang lain, dalam mesyuarat itu menerima peletakan jawatan mereka kerana saya dimaklumkan sebahagian mereka (AJK) yang meletak jawatan itu enggan menarik balik keputusan meletak jawatan.

“Saya dan AJK yang lain terpaksa menerima peletakan jawatan itu walaupun berasa berat hati memandangkan beberapa AJK yang meletak jawatan itu merupakan orang lama dalam PAS,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada Ahli Jawatankuasa yang meletak jawatan atas jasa mereka sepanjang berjuang dan berkhidmat bersama PAS kawasan Pendang.

“Saya tidak marah atau beranggapan yang bukan-bukan terhadap mereka walaupun tidak hadir dalam mesyuarat itu kerana menghormati mereka benar-benar ingin meletak jawatan.

“Mesyuarat itu menerima semua peletakan jawatan itu dan melantik AJK yang baru untuk mentadbir PAS kawasan itu,” katanya.

Mohamed Taulan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai berkata, beliau berharap dengan pelantikan semua AJK baru ini dapat mentadbir PAS kawasan itu dengan baik dan berharap akan ada pembaharuan yang dilakukan mereka.

“Beberapa AJK yang dilantik terdiri daripada ahli dan belum lagi disahkan. Saya akan menghantar surat memaklumkan kepada mereka sama ada mereka setuju atau tidak dengan pelantikan itu.

“Semua AJK yang dilantik ini akan bertugas lebih kurang enam bulan sehingga mesyuarat pelantikan baru pada pada bulan depan,” katanya.

Bendahari PAS Kawasan Pendang yang baru dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, beliau tidak marah dengan tindakan AJK yang meletakan jawatan itu, malah sudah menjangka dari awal lagi bahawa semua AJK terbabit tidak akan hadir dalam mesyuarat yang diadakan.

Sinar Harian turut bertanya mengenai sebab sebahagian AJK itu meletakkan jawatan, namun beliau sehingga kini tidak mengetahui sebab peletakan jawatan itu.

Pada mesyuarat itu, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang disandang Mohamed Taulan,

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang juga merangkap Bendahari, Dr Hayati, Naib Yang Dipertua, Ali Abdullah, Setiausaha, Fadzil Noor Shaari dan beberapa lagi AJK lain turut dilantik.SH

No comments: