Sunday, November 28, 2010

70 peratus bidaan kontrak kerajaan Pulau Pinang dimenangi kontraktor Melayu


















GEORGETOWN, 28 Nov: Sistem tender terbuka yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah teraju Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuktikan bahawa kontraktor Melayu di negeri ini tidak lembik, apatah lagi dayus.

Di sebalik dakwaan negatif seumpama itu selama ini, Guan Eng berkata, sistem berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti & Telus (CAT) yang menjadi pedoman pimpinan kerajaan negeri menunjukkan lebih 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

Di Pulau Pinang, katanya mana-mana kontraktor tidak perlu pakai kabel politik untuk dapat kontrak tetapi hanya pakai kabel komputer sebab kerajaan negeri mahu memartabatkan usahawan Bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-perolehan dan kontraktor kelas F tidak perlu hanya datang dari UMNO sahaja.

Malah, ujarnya program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta untuk membiayai program perniagaan ekonomi kecil telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81 peratus daripada jumlah itu ialah usahawan kecil Melayu.

“Biarlah Umno dan Barisan Nasional menerusi lidahnya, Utusan Malaysia hari-hari cuba menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan saya anti Melayu tetapi kita tahu kita memang memerintah berteraskan rakyat, berjiwa rakyat demi memartabatkan rakyat tanpa mengira kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, beliau meminta Kementerian Kerja Raya turut diminta untuk menambahkan bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang daripada 24.5 peratus sahaja buat masa ini kepada lebih 50 peratus di masa depan.

Tambahan sub-kontraktor dari Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada sub-kontraktor mendapat peluang daripada projek RM4.5 bilion yang bertapak di negeri mereka sendiri, katanya.

Menurunya, bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang yang kecil itu dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepadanya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini yang menjelaskan bahawa setakat 30 September 2010, seramai 106 sub-kontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 26 sub-kontraktor atau 24.5 peratus sahaja merupakan kontraktor yang berdaftar di Pulau Pinang, tambahnya.

Kerajaan Persekutuan menubuhkan syarikat khas, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013.

Kontraktor- kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah Chec Contructions (M) Sdn Bhd yang berasal dari Republik Rakyat China, UEM Builders Berhad, Cergas Murni Sdn Bhd, IJM Contructions Sdn Bhd, HRA Teguh Sdn Bhd.

No comments: