Thursday, November 18, 2010

Hentikan spekulasi Zaid sertai PAS























KUALA LUMPUR 18 Nov. : Semua pihak diminta menghentikan spekulasi bahawa Datuk Zaid Ibrahim akan menyertai PAS, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zaid yang keluar PKR sebelum ini membatalkan sidang media menjadualkan semula sesi bertemu pemberita di rumahnya di Petaling Jaya, pagi esok.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Hadi berkata, Zaid sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan secara rasmi sama ada akan keluar PKR ataupun tidak.

Zaid belum buat keputusan untuk keluar PKR atau tidak. Jadi kita tidak tahu apa yang akan beliau lakukan, kata Hadi.

Tambahnya, saya tidak suka kalau bercakap soal kalau sahaja, kita tunggu sahaja apa keputusan yang akan dibuat Zaid nanti.

Ketika ditanya sama ada PAS akan menerima Zaid sebagai ahli PAS, Hadi bagaimanapun berkata “kita perlu tunggu sahaja keputusan Zaid nanti.

“Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

“Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan ‘dingin’ dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kelmarin, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata parti itu akan menerima Zaid, bekas Pengerusi PKR sebagai anggotanya.

Husam berkata laporan Bernama yang memetik beliau berkata demikian adalah tidak tepat.

Zaid sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan PKR tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti itu.

Beliau mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 8 November lepas mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

No comments: