Thursday, November 18, 2010

'Third Force' bukan penyelamat PR tapi BN
























SHAH ALAM 18 Nov. : Tindakan kumpulan calon bebas yang mengelar diri sebagai 'Third Force' dan mahu menjadi penyelamat kepada Pakatan Rakyat apabila memerintah selepas pilihanraya umum akan datang adalah tidak logik.


Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sewaktu dihubungi TV Selangor.

Antara alasan kumpulan tersebut ialah untuk memastikan peristiwa 'rebutan kuasa' yang berlaku di Perak tidak berulang semula di Putrajaya selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil-alih Putrajaya.

"Ini kerana yang dapat menubuhkan pemerintahan adalah PR, bukan kumpulan calon bebas. Sebab kerajaan PR Perak jatuh juga disebabkan calon menjadi bebas, maka sesiapa yang mencadangkan idea telah mencadangkan sesuatu yang tidak masuk akal," tegas Pengarah Strategik PKR itu.

Beliau turut mempersoalkan kesetiaan yang diuar-uarkan oleh kumpulan ini kerana penyebab utama kejatuhan kerajaan PR Perak adalah kerana calon memilih menjadi bebas.

Kata beliau, kumpulan ini tidak mempunyai 'locus standi' untuk bertanding dan tidak berkait dengan PR, dan PR juga tiada halangan sekiranya mereka mahu meletakkan calon kerana kehadiran calon bebas di parlimen tiada bezanya untuk PR.

"Dia (calon bebas) tak akan membantu PR (dari segi) mengekalkan kedudukannya, baikpun di negeri ataupun di kerajaan pusat kerana calon bebas tak boleh membantu kita (PR) memerintah dan juga tidak boleh mengakibatkan kita hilang kuasa," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya menyatakan satu-satunya cara PR boleh menubuhkan kerajaan pusat ialah dengan memenangi majoriti kerusi parlimen dan isu 30, mahupun 80 calon bebas bertanding tidak berkait dengan PR mendapat majoriti dan menubuhkan kerajaan pusat.

Tian Chua berkata, kehadiran calon bebas juga tidak akan membantu mengekalkan pemerintahan PR sekiranya PR berjaya menubuhkan kerajaan pusat selepas pilihanraya umum nanti.

"Kalau kita (PR) nak kekalkan kedudukan di Putrajaya pun, kehadiran ahli parlimen bebas tak membantu dan tiada ahli parlimen bebas pun tidak memberi apa-apa kesan. Maka, saya tidak nampak apa kaitan yang mereka sebutkan," kata beliau lagi.

Sebelum ini, penyelaras kumpulan itu, Haris Ibrahim berkata, matlamat pihaknya menawarkan barisan calon terbaik, yang tidak akan mengubah kesetiaan sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan.

Peguam dan blogger aktif ini, yang bekerja rapat dengan kumpulan masyarakat madani bagi menjayakan inisiatif ini juga berkata, kumpulan calon terbabit akan ditawarkan kepada pembangkang persekutuan terlebih dahulu.

No comments: