Saturday, November 20, 2010

Laporan polis terhadap polis tembak mati remaja 15 tahun






















PETALING JAYA, 20 NOV:
Belum reda kes remaja Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 14 tahun ditembak mati secara rambang oleh polis, pada 26 April lalu, kini Polis Diraja Malaysia (PDRM), berdepan dengan satu lagi kes tembak mati remaja berusia 15 tahun Mohd Shamil Hafiz Shafie.

Hari ini keluarga mangsa tampil ke ibu pejabat Polis Petaling Jaya untuk membuat laporan ekoran anak mereka antara tiga yang mati ditembak kerana disyaki terlibat dalam satu kes rompakan sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam pada pukul 4.15 pagi 13 November lalu.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, N Surendran mengesahkan sebanyak 2 laporan dibuat hari ini oleh Ibu Mohd Shamil dan kakak kepada Khairul Nizam.

"Daripada fakta-fakta dari laporan pihak polis dan dari keterangan yang jelas ini adalah satu kes pembunuhan oleh pihak polis," katanya kepada media di luar bangunan IPD Petaling Jaya.

Surendran menyifatkan kenyataan polis yang melepaskan tembakan kerana mahu mempertahankan diri berikutan ketiga- tiga mangsa dikatakan bertindak ganas dengan memegang parang, merupakan satu pembohongan.

"Kita menyatakan ia adalah satu penipuan semata-mata dari pihak polis kerana keterangan yang kita dapati tidak logik mereka yang mempunyai parang akan menyerang polis yang mempunyai pistol," tambahnya lagi.

Dalam pada itu,Ahli Parlimen Subang, Sivarasa rasiah turut hadir memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Sivarasa berkata beliau akan membawa isu ini ke parlimen untuk menuntut keadilan kepada keluarga mansga.

"Saya akan bawa isu ini dan saya akan mohon kerajaan wujudkan satu suruhanjaya diraja bukan sahaja untuk kes ini tetapi kes berpuluh lagi yang dibunuh.

Apa yang kita lihat sekarang nampaknya macam ada unsur-unsur dalam pihak polis yang ingin jadi penjenayah penjenayah yang memakai pakaian seragam," katanya lagi.

Beliau menambah, semua anggota yang terlibat dalam operasi tersebut perlu dikenakan tindakan tegas dan digantung kerja.

Sivarasa juga menggesa suoaya diadakan saisatan bebas dan mendakwa mereka dibawah seksyen 302 kanun keseksaan.

Turut hadir memberikan sokongan adalah Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Lateefa Khoya dan Exco Selangor Elizabeth Wong.

No comments: