Monday, November 29, 2010

Sokong 10 kerusi untuk pemuda di Perak



PARIT BUNTAR, 29 Nov. : Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak menyokong penuh kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Saleh yang mahukan ramai calon daripada sayap kanan parti itu untuk mewakili PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Menurutnya Pemuda PAS mempunyai ramai calon-calon bawah 40 tahun yang layak bertanding dalam pilihanraya.

' Sebelum ini pun sudah ada calon daripada pemuda seperti Mohd Nazri Din dari Kubu Gajah, Muhammad Ismi Mohd Taib (Blanja) dan Radzi Zainon (Sungai Rapat) yang mewakili PAS dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

" Seharusnya Badan Perhubungan PAS Perak memberi ruang yang seluasnya kepada pemuda yang layak sebagai calon" katanya

Hairul Nizam berkata, kini anak-anak muda di seluruh negara mahukan pembaharuan dengan wakil rakyat di kalangan orang muda kerana wakil rakyat ini lebih segar, agresif, pantas bertindak dan memahami kehendak semasa.

" Sekarang ini kita melihat pemimpin muda dalam Pakatan Rakyat di Parlimen begitu menonjol seperti YB Mohd Nasir Zakaria (Pas/Padang Terap), YB Yusmadi Yusof (PKR/Balik Pulau) dan YB Nga Kor Ming (DAP/Taiping).

" Ramai dikalangan pemimpin pemuda PAS Perak yang boleh disenaraikan. Ada dikalangan mereka merupakan pensyarah, peguam, ustaz, ahli perniagaan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi membawa suara dan menjaga kebajikan rakyat" katanya

Tambahnya. kenyataannya bukan hendak menidakkan keupayaan golongan veteran yang sudah lama dalam PAS sebagai calon, akan tetapi Badan Perhubungan PAS Perak perlu relevan dan membuka mata memberi ruang sekurang-kurangnya 10 kerusi calon pemuda untuk pilihanraya akan datang.

" Kita tidak sepatutnya jadi seperti UMNO yang hanya memilih pemimpin tertinggi bahagian sahaja sebagai calon manakala pemuda terpaksa berhempas pulas menjadi pemimpin bahagian untuk menjadi calon pilihanraya" katanya

No comments: