Saturday, December 18, 2010

Bajet KL lebih besar daripada bajet negeri Selangor

Bajet 2011 DBKL: Datuk Bandar Perlu Telus










KUALA LUMPUR, 18 Dis. : Datuk Bandar Kuala Lumpur diminta agar bersifat telus dalam Bajet 2011 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM2.007 bilion.

Ini kerana pihak DBKL gagal menyerahkan perincian laporan itu kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Semalam, menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan bebas telah bertemu dengan Datuk Bandar bagi mendapatkan Belanjawan 2011 DBKL, namun seperti biasa maklumat terperinci tidak diberikan, hanya gambaran am tentang belanjawan DBKL yang jauh lebih besar daripada negeri Selangor dan Perak berjumlah RM2 bilion.

"Kita telah berkali-kali meminta supaya diberikan perincian peruntukan yang sampai ke setiap Parlimen seperti di Lembah Pantai yang diberitakan ada beberapa projek berlangsung tetapi tiada perincian," katanya sambil menjelaskan akhirnya Datuk Bandar bersetuju memberi maklumat tersebut.

Izzah yang juga Naib Presiden PKR turut menyelar berkenaan pembangunan yang bakal dilaksanakan.

Dakwanya, apa yang diputuskan oleh Menteri dan Datuk Bandar berkenaan pembangunan tentunya tidak mencermin kemahuan sebenar warga Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat merasa diketepikan apabila pihak DBKL tidak melibatkan wakil rakyat ini dalam merencana pembangunan ibu negara Malaysia berkenaan.

Kata Izzah, apa yang membimbangkan pihaknya ialah berkenaan ketelusan dan rasuah dalam urusan DBKL.

"Walaupun ada sedikit sebanyak maklumat diberikan, terdapat juga kesalahan contohnya isu perumahan bawah DBKL dimana menurut akhbar The Star mengatakan terdapat 71,000 unit manakala Datuk Bandar memberitahu 69,000 unit yang kebanyakkannya akan diberikan oleh kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk diselenggarakan oleh DBKL.

"Tapi seperti yang diberitahu Pengarah Perumahan, semua unit-unit itu akan diselenggarakan oleh KPKT ada cacat-celanya di mana ada elemen rasuah, yang akhirnya menyebabkan kualiti yang begitu rendah," jelasnya.

"Pada saya berbalik kepada soal ketelusan, di mana jika isu ini tidak diselesaikan...kita akan berhadapan dengan wang dana DBKL di mana kos operasi jauh lebih besar daripada kos pembangunan di mana akan dibazirkan untuk menyelenggara bangunan-bangunan yang dibina tidak mengikut spesifikai yang terbaik untuk warga Kuala Lumpur.

"Jadi, saya melontarkan persoalan, apa yang kita mahukan adalah pimpinan menjaga dengan penuh telus dan amanah oleh DBKL," Izzah menambah.

Bagi menyelesaikan masalah ini, beliau mencadangkan sudah tiba agenda Pilihanraya Kerajaan Tempatan diadakan bagi menjamin ketelusan.

Sebelum itu, Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata bajet bertemakan "Kuala Lumpur Bersih, Selesa dan Hijau" itu juga memberi tumpuan kepada memperkasa penyelenggaraan infrastruktur jalan, saliran dan kemudahan awam, mengutamakan penyelenggaraan dan pembangunan perumahan awam, serta mempergiat program penghijauan dan penyelenggaraan taman awam.

Beliau berkata 63 peratus atau RM1.273 bilion daripada bajet itu adalah kos mengurus manakala bakinya untuk perbelanjaan pembangunan. "Berasaskan kepada agihan-agihan peruntukan ini, dijangkakan program dibawah peruntukan operasi dan projek-projek pembangunan dapat mencapai objektif DBKL, dan visi menjadi 'Bandaraya Bertaraf Dunia'," katanya

No comments: