Friday, December 24, 2010

PRK Galas bukti 1Malaysia diguna untuk pancing undi BN

PAS, PKR sokong haram logo 1Malaysia

http://3.bp.blogspot.com/_Y-0YttZulaU/R4WIjxnAb2I/AAAAAAAAAY8/QS4WheSh97c/s320/faizi1b.jpg
SENAI, 25 Dis. : Pengharaman penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di Selangor nyata mendapat sokongan daripada PAS dan PKR.

Ketua Pemuda PAS Negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR yang mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di negeri itu adalah sesuatu yang wajar dilakukan.

Menurutnya, tidak menjadi masalah jika logo tersebut digunakan hanya bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di samping mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.

“BN ternyata telah menggunakan logo 1Malaysia demi kepentingan politik bagi meraih sokongan rakyat dan buktinya dapat dilihat pada pilihan raya kecil (PRK) di Galas sebelum ini yang memperlihatkan para pimpinan serta ahli BN membawa logo 1Malaysia ketika berkempen.

“Hal ini menimbulkan kekeliruan seolah-olah logo yang menjadi tunjang perpaduan kaum seperti yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan selama ini dijadikan sebagai simbol parti yang berkepentingan politik semata-mata,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, jika logo tersebut benar-benar menjadi lambang perpaduan rakyat, maka pihak kerajaan yang berperanan utama perlu memastikan bahawa logo tersebut tidak digunakan oleh mana-mana parti untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Kalau benar logo tersebut menjadi slogan perpaduan rakyat, maka pihak kerajaan perlu memastikan bahawa logo 1Malaysia itu tidak digunakan oleh mana-mana parti dalam pilihan raya.

“Hal ini dapat membuktikan kepada rakyat bahawa logo 1Malaysia adalah logo yang dimiliki oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri, Zabidie Abas berkata, slogan 1Malaysia telah diambil atau diciplak daripada slogan OneIsrael.

“Apabila kita menerima dan bersetuju dengan logo tersebut ia seolah-olah menyokong dasar Israel yang sememangnya bertentangan dengan Islam khususnya,” katanya.

Beliau berkata, pengharaman penggunaan logo tersebut bukanlah menggambarkan bahawa PKR gentar terhadap populariti gagasan tersebut bahkan menyifatkan slogan seperti itu hanyalah sekadar retorik semata-mata.

No comments: