Friday, December 24, 2010

Peneroka bangkit, Umno terhimpit

Mazlan : 'FELDA Kini Goyah' Dengan Kebangkitan Peneroka


SHAH ALAM 24 Dis.: 'FELDA kini goyah', begitulah tafsiran Mazlan Aliman apabila Pengarah Besar FELDA Datuk Dzulkifli Abd Wahab mengeluarkan pekeliling yang disifatkan memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak mereka.

Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), mengingatkan FELDA tentang kebangkitan peneroka hari ini adalah dari kekhilafan dan keangkuhan agensi itu mencengkam dan menindas peneroka.

Mazlan berkata, peneroka menerusi ANAK mengunakan saluran mahkamah sebagai pilihan terakhir setelah mencuba pelbagai pendekatan demi menyelesaikan masalah yang mencengkam peneroka.

Risalah dua halaman bertajuk 'Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah Timbang Tara' yang diedarkan kepada peneroka-peneroka dan dibacakan isinya di masjid-masjid jelas mengambarkan keresahan FELDA menghadapi kebangkitan peneroka.

"Sebenarnya kita sudah mengunakan pelbagai pendekatan dan berbincang sudah lama tetapi apa yang menjadi persoalan ialah FELDA seolah-olah tidak menunjuk tindakbalas positif apabila kita mengadakan perbincangan," katanya.

Antara lain, risalah dua helai itu menyatakan tindakan saman oleh peneroka terhadap agensi pembangunan tanah itu didakwa telah menyebabkan wujud suasana yang tidak harmoni antara peneroka dengan pengurusan Felda.

Mazlan yang dihubungi Tvselangor menjelaskan kenyataan FELDA dalam risalah itu juga jelas mengambarkan agensi Peneroka Tanah itu sekarang seolah-olah sudah 'terhantuk baru terngadah'.

"tidak nampak kesungguhan FELDA dalam memuktamad sesuatu perbincangan untuk memberi hak kepada peneroka," katanya.

"Jadi adakah jika peneroka mengunakan saluran mahkamah mereka dianggap angkuh dan mereka sekarang sudah pandai menunjuk sikap biadap, sepatutnya bagi saya FELDA harus muhasabah dengan kelemahan mereka," katanya lagi.

Selain itu,Pengarah Besar FELDA juga mensasarkan agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan belia.

Mazlan menjelaskan dalam masalah yang timbul sepanjang penubuhan agensi tersebut sejak 1956, pentadbiran mereka dibelenggu dan dicengkam pemerintah politik.

"Sebab itu dalam hal ini saya leboih nampak bukan teruk sangat masalah pentadbiran FELDA tetapi ia adalah gangguan daripada kuasa politik kerajaan yang memerintah kerana ini banyak penyelesaian tidak berlaku,sekiranya dibebaskan kuasa politik dari FELDA dan biar FELDA tentukan pemerintahannya antara mereka dan peneroka saya rasa telah lama jalan penyelesaian dapat dicapai," katanya.

No comments: