Thursday, December 16, 2010

Keadilan buat Zunar

Badan Kartunis Antarabangsa kepada PM,KDN: Gugurkan tuduhan dan sekatan terhadap Zunar




















Pengarah Eksekutif Cartoonists Rights Network, International (CRNI), Robert Russell meminta Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein untuk menggugurkan semua dakwaan terhadap kartunis Zunar. Malah, CRNI menyaran agar buku kartunnya diterbit dan diedarkan tanpa sekatan, untuk menunjukkan bahawa Malaysia terbuka dan jujur dalam proses demokratiknya.

"Penapisan mendongak kepalanya yang hodoh dan tidak berguna apabila negara mula gagal, dan pemimpin mula takut dengan ketidakmampuan dirinya untuk mentadbir.

"Demokrasi yang utuh tidak takut dengan kritikan. Berdasarkan pengalaman 20 tahun kami bekerjasama dengan kartunis yang ditekan, kami bertanggapan bahawa penapisan hasil kerja Zunar adalah bertentangan dengan kepentingan nusa Malaysia," kata Robert Russell.

Salinan surat ini turut dihantar kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, dan beberapa badan yang memperjuangkan kebebasan akhbar seperti Reporters sans Frontieres, Centre for Independent Journalism, Human Rights Watch dan Committee to Protect Journalists.

Zunar, atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ditahan polis pada 24 September 2010, sebelum koleksi kartunnnya "CARTOON-O-PHOBIA" dilancarkan pada malam tersebut. Malah, koleksinya "1 Funny Malaysia" dan beberapa terbitan majalah jenaka kelolaannya turut diharamkan dari pasaran, menjurus kepada tindakan undang-undang oleh Zunar dan Malaysiakini (penerbit koleksi kartun Zunar) terhadap Kementerian Dalam Negeri atas keputusan tersebut.

CRNI adalah satu badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak asasi, yang mewakili ratusan editorial kartunis dari seluruh dunia, dan berperanan untuk melindungi kartunis yang terperangkap dalam kesulitan berikutan hasil karya mereka.

Dalam surat tersebut, CRNI menyatakan keprihatinan terhadap dakwaan yang mungkin dikenakan kepada Zunar, yang kini masih menghadapi risiko didakwa bawah Akta Hasutan 1948.

"Lantaran daripada rekod unggul Malaysia sebagai pejuang demokrasi yang gah, dan diiktiraf sebagai kawan dalam bidang kebebasan bersuara dan hak individu, kami mendapati adalah sesuatu yang bertentangan apabila kartun Zunar yang tajam dan sarat dengan kasih sayang (affectionate) itu dianggap sebagai menghasut."

"Mereka (karya-karya Zunar) lebih menggalakkan accountability, ketelusan dan anti-rasuah. Sesiapa yang menentang nilai politik ini bukan demokrasi, tetapi semestinya tyranny.

"Kami difahamkan bahawa semasa lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, beliau dijamin bahawa Malaysia ikhlas dalam mempertahankan hak asasi dan perbicaraan yang adil dan bebas."

Robert Russell yang telah menatap Cartoon-0-Phobia, mendapati bahawa karya ini lebih lantang supaya Malaysia mengiktiraf kepentingan kebebasan bersuara dalam demokrasi, sementara memalukan sesetengah orang-orang besar.

No comments: