Thursday, December 16, 2010

Polis halang Demokrasi Hitam 2.0

Dua AMK Ditahan Dalam Demonstrasi Hitam 2.0














KUALA LUMPUR, 16 Dis.: Dua anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis ketika cuba berarak dari Parlimen ke ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM) untuk menyerahkan memorandum membantah keputusan Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen lain.

Antara yang ditahan adalah Exco AMK, Lee Khai Loon dan G Pravin iaitu anak lelaki Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, mereka dibawa ke Ibupejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 2 petang tadi.

Kira-kira 20 orang yang menggelarkan diri sebagai pasukan bertindak "Demokrasi Hitam 2.0" yang diketuai oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berhimpun di hadapan parlimen namun dihalang anggota polis yang berada di situ sejak jam 10 pagi lagi.

Pergelutan berlaku apabila hampir 50 orang anggota polis termasuk dari cawangan khas menghalang kumpulan tersebut daripada berarak secara berkumpulan.

Tolak menolak di antara polis dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof mengakibatkan kekecohan tercetus buat seketika.

Namun selepas itu polis membenarkan tiga orang, termasuk Shamsul dan Yusmadi untuk meneruskan hasrat mereka menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM.

Tindakan tersebut adalah susulan membantah Dewan Rakyat menggantung Anwar selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Usul tersebut telah diluluskan tanpa berbahas sehingga menyebabkan kekecohan di dalam parlimen pagi tadi.

Di pejabat SUHAKAM di ibu negara, Shamsul bersama anggota AMK lain menyuarakan ketidakpuashatian terhadap sistem demokrasi berparlimen di Malaysia selain mengecam tindakan kasar polis.

Dalam pertemuan setengah jam itu, Shamsul menyifatkan tindakan polis melanggar hak asasi manusia dengan mengenakan tindakan kekasaran fizikal kepada orang awam.

"Tahan itu tidak mengapa. Tapi mereka digari, dipijak dan dipukul. Itu pada saya satu pendekatan yang tidak boleh diterima akal. Ada saksi mereka dipukul dan dipijak oleh pihak polis di hadapan parlimen," katanya.

Yusmadi kemudiannya menjelaskan bagaimana hak dan kebebasan bersuara Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli parlimen ditidakkan oleh majoriti.

Malah seolah-olah ada komplot Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersama wakil parlimen Umno-Barisan Nasional untuk menyingkirkan Ketua Pembangkang dan tiga ahli parlimen pembangkang lain daripada sesi parlimen semalam enam bulan.

"Persoalannnya kenapa beliau tidak diberi ruang untuk menjelaskan kenyataan yang dibuat? Saya perlu menyatakan perkara ini dengan serius untuk mengelakkan kegelapan demokrasi berparlimen dengan satu kesilapan.

"Saya datang ke Suhakam kerana saya tahu Suhakam diamanatkan kuasa untuk memberi pandangan tentang apa yang berlaku," jelasnya SUHAKAM dalam responnya menyatakan pihaknya akan menyiasat namun keputusan adalah di luar bidang kuasa mereka.

No comments: