Friday, December 31, 2010

SPRM tak boleh diharap banteras rasuah

SPRM Didakwa Tidak Pernah Serius Siasat Kes Berprofil Tinggi- Charles

SHAH ALAM 31 Dis. : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah serius dengan penyiasatan kes berprofil tinggi sepanjang sejarah dua tahun suruhanjaya itu khususnya melibatkan kes syarikat besar kerajaan,tegas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Sebelum ini 'pengakuan' SPRM yang akan 'menyiasat' dakwaan kes sogokan membabitkan skandal Alcatel Lucent SA (ALU), yang turut mengaitkan dua pegawai Malaysia, bagi mendapatkan kontrak bernilai AS$85 juta (RM267 juta) yang ditawarkan syarikat telekomunikasi terbesar akan berakhir seperti kes-kes besar sebelum ini.

Beliau turut memberi contoh betapa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat komited dalam pendedahan ini bagi membanteras masalah rasuah.

"Ini jelas menunjukkan bahawa A.S, atau agensi kerajaan di bawah kerajaan A.S memang serius menangani isu rasuah tapi sekarang bola tu di kawasan Malaysia sekarang dan apa kita dapati SPRM kata mereka akan cuba (menyiasat). Ini jelas menunjukkan SPRM tidak akan melakukan apa-apa. Ini cara Malaysia," katanya.

Kontroversi bermula apabila SEC mendedahkan dua perunding dari Malaysia telah dibayar sebanyak AS$700,000 bagi mendapatkan "maklumat bukan awam" berhubung aspek harga dan bidaan pesaing-pesaing, dipercayai untuk anak syarikatnya Celcom Malaysia memperoleh perkhidmatan mudah alih 3G, yang dilancarkan pada 2005.

Semalam, Telekom Malaysia Bhd (TM) telah menubuhkan jawatankuasa kecil lembaga bagi menyiasat hal ini.

Menurut Charles, ini satu lagi bukti terhadap kelengahan Kerajaan Malaysia yang culas dalam menjalankan perniagaan persis skandal pembelian Kapal Selam Scorpene yang didedahkan oleh pihak berkuasa Perancis.

Justeru beliau tidak hairan mengapa korupsi berleluasa di Malaysia selain ranking Tranparency International mengenai korupsi dan rasuah negara ini terus menjunam.

"Kita tidak perlu terkejut tahap kita dalam indeks antara bangsa telah jatuh. Ini perkara serius. Kalau Amerika Syarikat boleh mengatakan bahawa pengusaha mereka yang memberi wang kepada pengusaha Malaysia, kenapa Malaysia tak boleh kata kita akan siasat? Ini sama dengan kes pembelian Kapal Selam dulu," tegas Charles.

No comments: