Tuesday, December 28, 2010

SUK Selangor : Lantikan tidak sah selagi belum lafaz sumpah setia hadapan MB

SUK Selangor : Pelantikan Bertentangan Perlembagaan Negeri


SHAH ALAM 28 Dis. : Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bukan hak mutlak Putrajaya kerana Perlembagaan Selangor turut memberikan kuasa itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San.

Justeru pelantikan bekas Pengarah JAIS Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru tidak dilakukan sejajar dengan Undang-Undang Tubuh Negeri, kata beliau.

Lau berkata perlantikan Datuk Khusrin belum sah di segi perundangan selagi beliau tidak menandatangani surat perlantikan dan mengangkat sumpah setia di hadapan Menteri Besar kerajaan Pakatan Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

" Keputusan ini tidak wajar diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebelum mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor, bahkan kalau ikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bawah Perkara 52 ianya mengatakan bahawa calon yang akan menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini perlu mengangkat sumpah setia rahsia di hadapan Menteri Besar," jelas beliau.

Beliau yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Negeri Parti Tindakan Demokrat (DAP) Selangor berkata, Perkara 52 juga bermaksud jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar.

Justeru, pendirian kerajaan Selangor di dalam hal ini perlulah dipertimbangkan dan perlantikan tidak harus dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sahaja.

" Kalau mengikut undang-undang pun, tidak memestikan jawatan dipenuhi oleh calon daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, jawatan ini perlu dilantik daripada Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan sahaja, maka tak semestinya perlu dilantik menerusi SPA," jelas beliau lagi.

Beliau berkata kuasa untuk membuat pelantikan itu turut diperuntukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

" Memang kerajaan negeri Selangor mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam perlantikan ini, dan saya rasa dalam seluruh episod ini, (campurtangan) kerajaan persekutuan menerusi kenyataan Sidek adalah tidak wajar dan betul," kata beliau.

Perlantikan sebegini, kata beliau, sepatutnya dibincang dengan teliti bersama kerajaan negeri Selangor, bukannnya terus diumumkan kepada media tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri.

"Mereka perlu menandatangani dan mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar, dan perlantikan ini juga sebaik-baiknya mendapat perkenan daripada Sultan. Tetapi, menurut undang-undang negeri, sekadar mendapat perkenaan Sultan adalah tidak mencukupi, ianya perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar," tegas beliau lagi.

No comments: