Saturday, December 4, 2010

Turun 5 Disember : Demo untuk rakyat



























SHAH ALAM, 4 Dis. : Perhimpunan aman "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" yang dirancang Kerajaan Selangor esok bertujuan untuk menghantar memorandum kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agong supaya hak rakyat diutamakan dalam isu pengurusan air.

Ia bukan untuk "menggalakkan perbuatan jenayah" seperti yang dikatakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah ketika bercakap kepada pihak media semalam.

Kebebasan mengadakan perhimpunan aman seperti yang termaktub mengikut Fasal 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan atas dasar ini Kerajaan Negeri telah membuka ruang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan mereka kepada usaha mengambilalih pengurusan air dari syarikat swasta yang nyata gagal membekal air bersih dengan harga yang berpatutan.

Juga dalam kes Mohamad Sabu, Tian Chua dan 26 yang lain. Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada November lalu telah memutuskan tidak salah bagi rakyat untuk berhimpun di masjid yang merupakan rumah ibadat bagi umat Islam.

Rakyat Selangor serta pimpinan negeri hanya mahu mendapatkan perhatian Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tempat rakyat mencari keadilan dan berlindung supaya hak rakyat tidak diketepikan dalam isu air apatah lagi dalam ketika hidup rakyat semakin perit dengan harga barangan asas yang meningkat.Tujuan ini jauh menyimpang dari anggapan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berharap pihak polis akan mengambil sikap professional ketika memantau perhimpunan aman esok dan semua pemimpin yang hadir akan memberi kerjasama pihak berkuasa agar semua berjalan lancar.

Kerajaan Negeri juga menyeru agar rakyat yang bersama kerajaan Negeri bertenang dan sentiasa bersikap rasional ketika menyertai perhimpunan aman tersebut esok.

Kerajaan Negeri telah pun memaklumkan tentang perhimpunan aman ini kepada polis termasuk, Ketua Polis Kuala Lumpur, Pejabat polis Daerah Dang Wangi dan Brickfields, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council).


FAEKAH HJ HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: