Saturday, January 22, 2011

Datuk Lee Chong Wei Intai juara buat kali ketujuh


KUALA LUMPUR 22 Jan. : Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menghampiri gelaran kali ketujuh Kejohanan Terbuka Malaysia apabila menjinakkan pemain China pada saingan separuh akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, dengan mudah melangkah ke peringkat akhir dengan menewaskan Chen Long 21-9, 21-9. Beliau akan menentang jaguh Indonesia, Taufik Hidayat, pada final esok.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Taufik, juara Olimpik 2004,menewaskan rakan senegara Simon Santoso 21-15, 21-19.

"Saya ingat Chen Long akan lebih banyak menyerang tapi nampaknya dia tak berani dan lebih berhati-hati. Dia juga banyak melakukan kesilapan," kata Chong Wei kepada media selepas perlawanan itu.

Beliau, yang kelihatan tenang dan yakin, turut mengakui bahawa beliau sebenarnya telah berlatih bagi menghadapi musuh tradisinya, Lin Dan.

Lin Dan bagaimanapun menarik diri semalam kerana mengalami kecederaan dibahagian abdomen dan sekaligus memberi kemenangan percuma kepada Chen Long untuk ke separuh akhir.

Chong Wei, 28, merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia sebanyak enam kali sebelum ini iaitu pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.

Dalam ada itu, Taufik berkata beliau yakin mampu memberi tentangan sengit kepada Chong Wei esok walaupun pemain tuan rumah itu mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri. Mengikut rekod, kedua-dua pemain itu telah bertemu sebanyak 16 kali dengan Chong Wei memenangi 10 perlawanan.

Dalam acara akhir perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia, Wang Yihan dari China akan menentang rakan senegara, Wang Shixian.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan baru Denmark, Mads Conrads-Petersen/Jonas Rasmussen layak ke final buat julung kali dalam kejohanan Siri Super selepas saingan separuh akhir.

Gandingan Denmark itu menundukkan beregu Jepun, Naoki Kawamae/Shoji Sato21-17, 22-20 pada perlawanan separuh akhir dan akan berdepan dengan gandingan baru China, Chai Biao/Guo Zhendong esok.

Conrads-Petersen berkata beliau akan menumpukan kepada corak permainannya tanpa menghiraukan lawan mereka pada peringkat akhir.

Menurutnya beliau dan rakannya berharap dapat mengulangi persembahan hari ini pada pertemuan dengan beregu China nanti. Beregu Denmark itu digandingkan pada Oktober tahun lepas dan kejohanan disini merupakan kejohanan kelima bagi pasangan itu.

Dalam pada itu, Chai Biao/Guo Zhendong menewaskan beregu Indonesia MohamadAhsan/Bona Septano 21-15, 21-14 pada satu lagi pertemuan separuh akhir.

Acara beregu wanita dan beregu campuran akhir akan menyaksikan pertembungan antara pemain China. Wang Xioli/Yu yang akan berdepan dengan Tian Qing/Zhao Yunlei dalam acara akhir beregu wanita manakala He Hanbin/Ma Jin menentang Jiaming Tao/Tian Qing dalam beregu campuran.

No comments: