Monday, January 10, 2011

Ekonomi pro kroni tajaan Umno

Pelan 100 Hari: Hapus Ekonomi Pro Kroni- Rafizi



SHAH ALAM 10 Jan. : Parti Keadilan Rakyat(PKR) menjelaskan soal pembiayaan pelan reformasi 100 hari Pakatan Rakyat bertitik-tolak dari iltizam politik untuk
menghapuskan ekonomi pro-kroni kepada sistem yang membantu keupayaan rakyat.

Pengarah Strateginya Rafizi Ramli berkata pelan merakyatkan kemewahan negeri telahpun dilaksanakan di negeri-negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat, sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh Barisan Nasional.

Pelan itu mampu dilaksanakan kerana Pakatan Rakyat menutup kebocoran-kebocoran akibat gejala rasuah dan pembaziran.

"BN mendakwa kerajaan tiada wang. Sejak PR ambil-alih, Selangor telah memulangkan RM150 juta setiap tahun kepada rakyat dalam bentuk skim air percuma, sumbangan masuk universiti, mikro-kredit dan sebagainya," kata Rafizi.

Rafizi berkata demikian menjawab cabaran Perdana Menteri Najib Razak kepada Pakatan Rakyat menjelaskan bagaimana pelan reformasi 100 hari akan dibiayai.

Najib mendakwa pelan yang pro-rakyat seperti itu akan memufliskan negara, sambil merujuk kepada krisis ekonomi di Greece.

Rafizi menjelaskan kebocoran dana rakyat akibat perbuatan Barisan Nasional sudah cukup untuk membiayai kebajikan rakyat memerlukan di negara ini.

"Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan kira-kira RM28 bilion bocor akibat amalan perolehan yang teruk, projek terbengkalai, kenaikan kos dan amalan rasuah," katanya lagi.

Beliau menambah bayaran RM77 juta kepada firma berkaitan Zionis, Apco Worldwide jika dibatalkan juga mampu membiayai pelan itu.

Rafizi mengganggarkan kira-kira RM23 bilion dapat disalurkan kepada rakyat setiap tahun jika subsidi RM19 bilion dari Petronas kepada Penjana Tenaga Bebas, dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya ditarik-balik.

"Seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga, jumlah ini dapat disalurkan kepada rakyat dengan mudah jika ia distrukturkan semula," ujar beliau.

Antara rancangan yang digariskan dalam Buku Jingga itu adalah meminta badan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah Nasional Berhad menghapuskan tol dengan memiliknegarakan aset lebuhraya.

"Memilik-negara lebuhraya PLUS hanya memerlukan RM18.7 bilion. Kecil jika dibandingkan kepada RM51 bilion yang dapat diselamatkan dari penghapusan rasuah dan penstrukturan subsidi," katanya.

Struktur subsidi diubah semula dengan mengalihkan bantuan kepada sektor swasta kepada rakyat marhaen, meningkatkan elaun mengajar kepada RM500 sebulan serta mengizinkan tanah-tanah rancangan FELDA diuruskan oleh generasi peneroka kedua dan ketiga.

No comments: