Tuesday, January 11, 2011

Interlok : Kementerian Pelajaran perlu buat perbincangan

Interlok: Anwar Cadang Kementerian Berbincang Dengan Pihak Bertelagah



PETALING JAYA 11 Jan. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan Kementerian Pelajaran supaya mengadakan perbincangan bagi mendapatkan maklum balas pihak-pihak yang berbalah mengenai kandungan novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

MIC dan Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) India mahu buku teks itu ditarik balik atau dipinda kerana dianggap menghina masyarakat beragama Hindu.

Kumpulan-kumpulan sasaterwan pula mempertahankan buku itu sebagai sebuah karya yang tidak sama sekali rasis dan kebebasan penulisnya harus dilindungi.

Anwar berkata Kementerian Pelajaran harus bersifat telus untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut buku Interlok.

"Saya sudah membaca 'Interlok' lama dahulu, tidak terkesan sebarang kandungan bersifat rasis. Ia bukan novel yang istimewa, tetapi baik dalam pengamatan saya. Sekurang-kurangnya Kementerian Pelajaran sepatutnya mengadakan diskusi dengan semua pihak terlibat bagi mendengar pandangan mereka," komen

Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Semalam, 20 wakil Pena dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Majlis kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan PIBG Nasional dan Persatuan Ikatan Melayu Nusantara membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mereka mahu polis menyiasat tindakan sekumpulan orang membakar novel Interlok sebagai tanda marah ke atas rujukan penulis kepada penduduk India dari kasta yang paling rendah.

Insiden pembakaran buku itu berlaku di Klang Ahad lalu.

MIC, Parti Pogresif Penduduk, Parti Makkal Sakti dan NGO Persekutuan Pertubuhan India Malaysia menggesa Kementerian Pelajaran menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi mengkaji isu berkaitan dengan masyarakat India sebelum ia dijadikan bahan cetakan dan menjadi buku teks sekolah.

Menurut Anwar lagi, perbezaan pendapat mengenai karya sastera adalah perkara biasa kerana itu mengikut pengamatan dan pandangan masing-masing.

"Sebagai contoh, ada yang mengatakan penulisan penyajak yang saya gemari dulu, TS Eliot sebagai bersifat anti-Semetik, tetapi saya tidak berpandangan sedemikian," kata beliau.

No comments: