Thursday, January 6, 2011

Jika tak hadir, sah Umno dan Perkasa tuduh derhaka

Khalid: Kami Hadir Di Istana Kerana Setia Kepada Sultan, Usul Pindaan Diteruskan


SHAH ALAM 6 Jan.: Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan Exconya hadir pada majlis penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Selangor hari ini untuk melenyapkan dakwaan kononnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai krisis dengan pihak istana.

Pada majlis sama Datuk Mohd Khusrin Munawi mengangkat sumpah setia kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

Dalam kenyataannya, Tan Sri Khalid menegaskan pihaknya tetap menganggap pelantikan Khusrin oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dibuat secara arbitrari dan meminggirkan kerajaan negeri.

Justeru, kerajaan negeri akan meneruskan hasrat meminda Undang-Undang Tubuh Negeri pada hujung bulan ini untuk memulihkan kuasa Sultan dan Menteri Besar bersabit pelantikan SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Khalid berkata kehadiran beliau dan Exco di Istana Kayangan Shah Alam hari ini sebagai tanda taat setia kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Pentadbiran kerajaan negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini. Media perdana pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat,” kata beliau.

“Justeru, kehadiran seluruh Exco Kerajaan Negeri hari ini di dalam majlis penuh istiadat iaitu Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah ( S.S.I.S ) Darjah kelas Pertama Kepada Tengku Amir Shah Raja Muda Selangor sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada Tuanku Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor," tegas beliau.

"Memandangkan hari ini juga ditetapkan untuk majlis angkat sumpah Datuk Khusrin, kami ingin menegaskan kehadiran kami tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) terhadap pentadbiran kami,” tegas beliau .

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor sudah menghantar surat kepada SPA untuk menyatakan rasa terkilan pihaknya kerana pelantikan Khusrin dibuat dengan meminggirkan kerajaan negeri.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Federalisme sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan," ujar Khalid.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri juga memaklumkan kepada Sultan Sharafuddin berhubung perkembangan terbaru termasuk cadangan proses penyelesaian dengan SPA.

"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. (Pindaan ini) untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri,” kata beliau.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor. Sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," tambah Khalid lagi.

Pada tahun 1993, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri untuk menghakis pengaruh Raja dan Sultan termasuk kuasa istana untuk melantik pegawai-pegawai eksekutif kerajaan seperti SUK.

No comments: