Sunday, January 9, 2011

Khalid cabar Umno sokong pindaan kembalikan kuasa Sultan

Khalid : Pinda Undang-Undang Untuk Perbetul 'Kesilapan' Pentadbiran


SHAH ALAM 10 Jan. : Cadangan Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor ialah untuk membetulkan 'kesilapan' pentadbiran sehingga berlaku ketidakadilan kepada Kerajaan Negeri sejak 1993.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, adalah tidak wajar kuasa Sultan Selangor diambil alih oleh Umno demi memperkukuhkan kuasa Persekutuan ketika krisis Perlembagaan Persekutuan 1993.

Beliau dengan tegas akan terus memperjuangkan hal ini bagi membolehkan keadaan menjadi baik di masa hadapan.

"Drama ini akan berterusan. Tujuan saya ialah bukan saja selesaikan perkara ini tapi betulkan apa yang salah. Jadi tanggungjawab saya ialah memanggil sidang DUN dalam 2 minggu ini untuk bincang mengapa enakmen dan undang-undang iniyang ditarik Umno pada 1993 dan mengapa biarkan ia memberi ketidakadilan kepada pengurusan negeri," jelas Khalid.

Kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dicetuskan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan itu tanpa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Justeru Khalid menyatakan kerajaan Selangor akan membuat beberapa usul akhir bulan ini untuk memastikan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri — Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri kembali ke tangan Sultan dan kerajaan Selangor.

Khalid turut mempertikaikan tuduhan Umno yang menyatakan beliau derhaka kepada Sultan dalam isu ini walhal, Umno-lah yang telah meminda Perlembagaan dan menghapus kuasa Sultan sejak tahun 1993.

"Umno yang menariknya (kuasa itu). Dia dah tarik dan sekarang baru dia cakap bila kami memberitahu Tuanku Sultan, terus dia mengatakan jangan derhaka kepada Sultan. Siapa yang derhaka?", soal Khalid ketika berucap dalam Majlis Pidato Perdana dan Solat Hajat menyelamatkan Selangor anjuran PAS malam tadi.

Khalid menegaskan bahawa beliau komited dengan rancangan beliau.

Malah Khalid mencabar Umno untuk menyokong pindaan itu jika mereka benar-benar mendukung institusi DiRaja Selangor.

"Kita kena tengok belang Umno samada dia sokong Sultan atau tidak. Kita kena tengok samada dia benar. Kata depan tuanku, Ampun Patik harap di ampun tapi dibelakang langsung tidak dipeduli," tambah Khalid lagi.

No comments: