Sunday, January 9, 2011

Pertahan Selangor, tambah khidmat kebajikan kepada rakyat

Anwar : Fokus Serta Perbaiki Khidmat Jika Mahu Kekal Perintah


SHAH ALAM 10 Jan.: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agar pimpinan Kerajaan Negeri Selangor tidak hilang fokus dan terus menambah serta memperbaiki khidmat biarpun teruk diasak dalam kes pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Anwar menyatakan hal ini penting bagi menjaga kebajikan dan keselesaan rakyat di bawah pentadbiran baik Pakatan Rakyat selain mendapat mandat untuk masa hadapan.

"Ingatan dan nasihat saya kepada Menteri Besar, ahli exco dan kerajaan Negeri Selangor. Kita jawab tetapi fokus. Kita pertahankan Selangor dan tambah khidmat kebajikan, pastikan tata kelola yang baik di Selangor.

"Ini yang akan memenangkan kita. Kerana kalau tunduk kepada muslihat mereka. Ini menyebabkan kita asyik bertahan. Mengapa kita perlu asyik bertahan, kuasa di tangan kita di Selangor, rakyat Selangor bersama kita. Kita lawan UMNO di Selangor. Lawan Tetap Lawan!" laung Anwar di hadapan hampir 10 ribu hadirin di Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Majlis anjuran PAS Pusat ini turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kepimpinan tertinggi PAS dan PKR.

Anwar menegaskan Pakatan Rakyat perlu sentiasa bersedia lantaran negeri Selangor merupakan idaman UMNo, yang sehingga kini masih gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia ini.

"Dalam ucapan kita sebelum peralihan kuasa dari Tun Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib, kita ingatkan kita akan hadapi tindakan lebih rakus dari dulu. Ternyata apa yang berlaku membuktikan andaian tersebut. Selangor dianggap mutiara bagi UMNO. Mereka berkuasa di pusat tapi masih lemas kerana tiap hari dia terpaksa lalu selangor. Nak pergi ke pelabuhan, nak pergi lapangan terbang, jadi dia tak boleh tahan," kata Anwar lagi.

Justeru, Anwar mahu Pakatan Rakyat berpegang jelas dengan prinsip Pakatan Rakyat yang mendaulatkan institusi diraja, serta menjunjung Perlembagaan Negara dan tidak goyah walaupun diserang dan difitnah bertubi-tubi Oleh UMNO dari semua hala.

"Soal derhaka. Semua orang tahu. Baca semua ucapan Presiden UMNO tatkala meminda perlembagaan. Kasar, tiada pertimbangan. Orang ini nak ajar kita tentang taat? Tak payah defensif. Tak payah apologetik. Mengadap ke bawah Duli Tuanku. Beritahu pendirian kita. Pendirian DAP, PKR dan PAS. Pertahankan Perlembagaan. Pertahankan Bahasa Melayu. Islam agama Persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja. Itu pendirian kita, tak payah jelaskan kepada UMNO ini pendirian kita," tambah Anwar lagi.

No comments: