Friday, January 7, 2011

Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak siasat punca kematian Teoh, ada yang dilindungi ?

Majlis Peguam Dan Suhakam Desak Putrajaya Supaya Suruhanjaya Siasat Punca Kematian Teoh


KUALA LUMPUR 8 Jan. : Majlis Peguam dan Suhakam turut menyertai desakan agar Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja yang boleh menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock tanpa hanya mengehadkan kepada skop meneliti prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneruskan keputusan dibuat 17 Julai 2099 untuk mewujudkan suruhanjaya diraja, dengan terma-terma khusus, bagi mengkaji kaedah soal siasat yang diguna pakai SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh.

Suruhanjaya itu yang akan diwujudkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 akan menyiasat perjalanan dan pengurusan SPRM serta di mana sesuai, menyiasat kelakuan mana-mana pegawai SPRM lapor portal The Malaysian Insider.

Susulan pengumuman itu semalam, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo memberitahu, pembentukan suruhanjaya diraja tanpa turut menyiasat persekitaran yang membawa kepada kematian Teoh tidak ada sebarang makna dan ia satu langkah membazir wang rakyat.

Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan juga berpendapat demikian. "Apa yang penting, dia (Teoh) mati ketika berada dalam tahanan SPRM. Beban adalah pada SPRM untuk menjelaskan apa yang berlaku," kata Ragunath.

"Mengenai soal kebersalahan, adalah penting untuk difahami bahawa Teoh merupakan seorang saksi. Adakah dia telah berhadapan dengan tekanan ketika disoal siasat?

"SPRM mesti mengambil tanggungjawab," kata beliau. Ragunath yang sebelum ini melahirkan pendapat bahawa inkues itu tidak bermakna selepas koroner memberikan keputusan terbuka menambah, kerajaan bertanggungjawab kepada keluarga Teoh untuk memberi keadilan.

"Koroner memutuskan tidak bunuh diri ataupun dibunuh, jadi bagaimana dia mati? Mereka mesti datang dengan rumusan," kata beliau.

Justeru, kata Ragunath, apabila Najib menggariskan terma rujukan kepada suruhanjaya beliau sewajarnya memberikan kuasa untuk melihat punca yang membawa kematian Teoh dan tatalaku pegawai-pegawai SPRM.

Malah kata beliau, pentadbiran Najib mesti memberi kuasa kepada suruhanjaya diraja untuk meneliti protokol kesemua badan penguat kuasa, bukan hanya SPRM bagi membuktikan bahawa kerajaan persektuan serius untuk mendapatkan keyakinan rakyat ke atas institusi-institusi awam.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi semalam bagi semakan terhadap keputusan terbuka dalam inkues kematian Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abas pada Rabu lalu memutuskan kematian setiausaha politik Exco Selangor itu pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri ataupun homisid.

Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah juga menyokong gesaan agar suruhanjaya diraja diberikan kuasa meluas.

"Skop kerja suruhanjaya diraja tidak wajar dihadkan... jadi, syor-syornya akan menjadi panduan komprehensif bagi SPRM untuk bergerak ke depan," kata ketua bahagian aduan dan pertanyaan Suhakam ini.

"Jika mereka mahu menyiasat prosedur, bukannya prosedur-prosedur dalam buku tetapi teliti penggunaan prosedur yang sebenar, mereka harus meneliti dengan terperinci.

"Jika penemuaan menunjukkan pegawai-pegawai (SPRM) bersalah, ia akan membantu kerajaan membersihkan badan penguta kuasa," katanya lagi.

Sebagaimana ditekankan oleh Ragunath, Muhammad Sha'ani berkata, Teoh hanya seorang saksi yang dibawa untuk membantu siasatan SPRM. Kata beliau, undang-undang dalam prosiding jenayah memberikan lebih perlindungan kepada suspek berbanding saksi.

"Sekarang orang ramai takut untuk membuat laporan, mereka tidak akan tampil untuk membuat pendedahan," katanya lagi.

"Ramai yang sudah jadi mangsa. Ia sesuatu yang sudah diketahui (ramai), bukannya persepsi awam," kata beliau sambil menambah, terdapat banyak aduan mengenai dakwaan intimidasi terhadap pegawai-pegawai SPRM.

Katanya, perbicaraan membabitkan bekas pengurus besar Sime Darby dan juga peguam terkenal Datuk Rosli Dahlan adalah antara beberapa kes dakwaan intimidasi semasa siasatan SPRM.

No comments: