Sunday, February 20, 2011

Kerdau: PAS putus calon Selasa, naib presiden antara pilihan

http://2.bp.blogspot.com/_JZJBunYCdN0/Sf7FOB7JLNI/AAAAAAAAAKo/DXXOCD4v9yI/s400/amanat+tuan+ibrahim.jpgKUALA LUMPUR — PAS akan memuktamadkan calonnya yang bakal bertanding di kerusi Kerdau Selasa ini selepas tiga nama diperakui oleh Dewan Harian parti itu hari ini, kata Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

“PAS Pahang telah mengangkat tiga nama pada hari ini di mana Dewan Harian telah memperakui ketiga-tiga nama itu. Keputusan akhir akan dicapai pada mesyuarat jawatankuasa kerja pusat Selasa ini,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengumumkan calon di Kerdau, Khamis ini.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang enggan berkongsi nama calon-calon yang diperakui oleh Dewan Harian pada mesyuarat hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan salah satu daripada tiga nama yang dipertimbangkan itu termasukla Tuan Ibrahim sendiri selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau.

Sumber memberitahu kemungkinan PAS akan menurunkan beliau di Kerdau kali ini atas popularitinya di kawasan tersebut dan di Pahang.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan itu, Tuan Ibrahim memberitahu, “biar jawatankuasa pusat yang putuskan perkara itu dan nama calon akan diumumkan 24 Februari ini.”

Difahamkan ketiga-tiga nama yang diperakui hari ini merupakan anak tempatan kawasan Kuala Krau.

Pada 8 Mac 2008, Tuan Ibrahim bertanding di kerusi DUN Jengka.

Mesyuarat Dewan Harian PAS hari ini juga memutuskan untuk melantik Pengarah Pilihan Rayan PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman sebagai pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kerusi DUN Merlimau.

Sebelum ini PAS melantik Tuan Ibrahim sebagai pengarahnya.

“Ada pertukaran, saya akan mengetuai jawatankuasa induk pilihan raya kecil Kerdau, Datuk Abdul Halim akan menjadi pengarah pilihan raya kecil Merlimau,” katanya lagi.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac sebagai tarikh pengundian manakala penamaan calon pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN), Selasa ini.

“Empat nama calon berkelayakan telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih bertanding, siapa saja yang dipilih akan diterima dan jentera BN akan memastikan kemenangannya,” kata Adnan.

Kata beliau, kerajaan negeri pimpinan BN akan menunaikan segala janji pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri Kerdau yang telah dibuat bekas wakil rakyat kawasan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti projek pembangunan yang dijanjikan sebelum ini mengikut keutamaan dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Barisan Nasional tidak berjanji kosong, setiap janji-janji itu kita akan tetap laksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jentera pilihan raya kecil BN untuk pilihan raya kecil DUN Kerdau hari ini.

Adnan berkata, semua isu setempat di kawasan berkenaan juga akan diselesaikan secepat mungkin.

“Setakat ini tiada isu besar di Kerdau melainkan isu-isu berkaitan hak milik tanah dan berkaitan tanah, isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN pada pilihan raya kecil itu berkata, semua jentera pilihan raya BN kini bersiap sepenuhnya.

“Kita akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui masalah mereka dan setiap masalah mereka kita akan atasi,” katanya.

No comments: