Tuesday, February 15, 2011

Syabas saman untuk jadi bahan media Umno bohongi rakyat

Tabung Budi: Saman SYABAS Untuk Kaburi Mata Rakyat


SHAH ALAM 15 Feb.: Saman yang dikemukakan Syarikat Bekalan Air Selangor atau SYABAS bertujuan untuk mengaburi mata rakyat berhubung isu tabung budi dan pengambilalihan syarikat konsesi air, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam sidang media hari ini, Khalid bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menjelaskan pihaknya bersedia menghadapi saman yang dikenakan dan telah melantik peguam bagi tujuan tersebut.

Jelasnya, dokumen saman itu telah diterima dari SYABAS berkenaan kenyataan yang dibuat mengenai Tabung Budi serta kenyataan yang meminta SYABAS memulangkan hak pembekalan air kepada kerajaan negeri menerusi kempen "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat".

"Namun saman ini tidak mengubah pendirian kami dalam terhadap isu Tabung Budi. SYABAS tidak mempunyai hak untuk meminta penguna-pengguna menyerah dana kepada SYABAS kerana dana tersebut diberi oleh kerajaan negeri melalui program pemberian air percuma 20 meter padu,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga berpendapat perjanjian konsesi kepada empat syarikat konsesi termasuk SYABAS perlu ditamatkan agar industri air negeri boleh diambilalih kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air yang lebih efektif dengan harga yang berpatutan.

Dalam pada itu, Khalid menjelaskan pihaknya tetap berpendirian bahawa SYABAS tidak berhak untuk meminta pengguna menyerahkan dana kepada syarikat itu kerana dana tersebut diberi kerajaan negeri melalui program pemberian air percuma 20 meter padu.

“Peguam-peguam kami telah diberi arahan untuk mnnyediakan pembelaan. Saya diwakili oleh Edmund Bon manakala Tony Pua telah melantik peguam Gobind Singh Deo dalam kes ini," jelasnya.

Khalid berkata, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Pegawai Selia Air menulis surat kepada SYABAS untuk memastikan bahawa segala pembiayaan guaman dalam saman ini dibayar oleh pengarah-pengarah SYABAS sendiri dan bukan oleh syarikat SYABAS.

Ini kerana syarikat tidak perlu dibelenggu oleh bayaran guaman untuk kes yang jelas tidak ada kena mengena dengan fungsi SYABAS sebagai pembekal air bersih kepada rakyat Selangor.

Tambah beliau, tindakan SYABAS menyaman ketika proses rundingan pengambil alihan syarikat konsesi air belum selsai menimbulkan beberapa persoalan berkenaan niat syarikat berkenaa.

Sementara itu, Tony Pua membidas kenyataan yang dikeluarkan SYABAS dengan mengatakan beliau tidak gentar menghadapi saman dari syarikat konsesi berkenaan kerana kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah benar.

No comments: