Monday, February 28, 2011

Tunggu masa sesuai untuk dedah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiKlRZ7AhDwPMvP14_rP6UQFdcxMJSPm1VXBJ-Lbx37VH5B4yjS1JV1wlpDuSjSxUsIFPG4NoKK3U5ZGBZsJ0NxQQLQMV_klK9xUYBR0hJRrROHq2UyX5KAPgnXV9UIgaHL_1LGprDFN2AF/s400/0109saifuddin.jpg

Demikian tegas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berhubung pendedahan beberapa pemimpin parti itu dipujuk keluar parti dengan tawaran wang dan projek terutama menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Kerdau.

Katanya, beliau akan mendedahkan bukti penglibatan pemimpin UMNO dalam cubaan memujuk beberapa pemimpin cabangnya pada waktu dan tempat yang dirasakan sesuai.

Menurut Saifuddin, cabaran daripada beberapa bekas pemimpin PKR seperti yang disiar akhbar ini semalam memaksa beliau mendedahkan bukti-bukti berkenaan kepada umum.

“Siapa yang makan cili, dia yang akan terasa pedasnya, jadi bekas pemimpin PKR yang memberi respon kepada kenyataan saya sudah terasa. Ini jawapan saya kepada cabaran mereka, bila saya mahu dedah, itu adalah pilihan saya,” katanya, semalam.

Katanya, bekas pemimpin PKR tersebut sebenarnya sudah menerima habuan masing-masing dan tugas mereka sekarang adalah untuk terus menghentam PKR.

“Mereka kata mereka tidak terlibat, tetapi kenapa tiba-tiba mereka ini melatah dengan kenyataan saya? Jadi benarlah pepatah Melayu,” katanya.

Khamis lalu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa terdapat cubaan merasuah lima pemimpin Cabang PKR Pahang untuk keluar parti dengan membawa kira-kira 500 penyokong.

Selain itu, Saifuddin turut mendakwa pemimpin-pemimpin cabang PKR ini dijanjikan wang ringgit dan projek yang lumayan selain mengaku mempunyai bukti bahawa UMNO adalah dalang di sebalik cubaan ini.

Semalam, dalam laporan: Sinar Harian:, beberapa bekas pemimpin PKR mencabar Saifuddin untuk mengemukakan bukti dan jangan menyalahkan orang lain sekiranya ahli PKR keluar atas kesedaran dan kehendak diri sendiri.

No comments: