Friday, February 18, 2011

Video : Promo Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera



Jom, rai Kedah Sejahtera!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhfh_7Uw-ZX2qAR0wwSfUjALe6FJp06vRkoqg7-CJ_KaH5pg6bgEfzWfBXn9tZQ-fL_hTfTqY4NMFjy2JAuDU_pKHCgoz96m1uTubhvbGbYKORTWsPGCnM_AJuhZEGm3bTh719c9Ynmj2c/s400/manifesto+kedah_0001.jpgALOR SETAR, 17 Feb. : Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera yang akan berlangsung dari 10 hingga 14 Mac depan mampu menjadi platform terbaik Kerajaan Negeri berinteraksi secara langsung dengan rakyat.

Exco Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abd Ghani Ahmad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, berkata, program sambutan lima hari yang bertemakan Perkasakan Kedah Sejahtera itu diadakan bagi memberikan mesej secara langsung kepada rakyat mengenai kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah.

Menurutnya, menerusi program Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera, hubungan baik antara pemimpin dan pentadbir awam negeri bersama masyarakat dapat dipupuk dan dikukuhkan menerusi pelbagai aktiviti sepanjang tempoh itu.

“Ia menjadi satu platform untuk Kerajaan Negeri mendapat maklum balas atau cadangan daripada rakyat untuk kemajuan Kedah.

“Objektif program ini antara lain memperkenalkan produk dan perkhidmatan dalam pentadbiran negeri kepada rakyat jelata,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abd Ghani berkata, aktiviti yang diatur meliputi semua lapisan masyarakat termasuk warga tua, wanita, belia dan kanak-kanak.

“Sambutan dimulakan dengan pra acara pada 5 dan 6 Mac iaitu konvoi bermotosikal melibatkan 60 belia yang dijadual bermula dari Padang Terap sehingga Sik, sebelum program dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada malam 10 Mac.

“Pameran syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seminar, ceramah umum dan diskusi melibatkan tetamu seperti Datuk Ismail Kamus dan acara kanak-kanak turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Upin Ipin selain konsert yang bersesuaian dengan enakmen Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, seramai lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan pelbagai program yang diatur sempena program Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera di pekarangan Stadium Darul Aman itu.

“Tokoh politik dari Selangor dan Kelantan dijangka hadir antaranya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Masyarakat berbilang kaum di negeri ini dijemput untuk turut sama memeriahkan program Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera.

“Dan sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi lawan web www.kedahsejahtera.com,” katanya.

Difahamkan, pengunjung berpeluang beramah mesra dengan bekas pemain bola sepak Kedah selain dapat menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Kedah dan pasukan pilihan Thailand pada 12 Mac di Stadium Darul Aman.SH

No comments: