Saturday, March 26, 2011

760 ahli PKR Indera Mahkota sepakat pertahan kemenangan

Azan tekad pertahankan Indera Mahkota

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEihe1bPZsNMzr5enZbDdykcZtJWD9o_CUCsi5hcLfPTOr2PHkS0EzZkYuXdD6DvO7ob5Zwy5pRhyJdGlvQZJS-ZGLLLdQW635YFbfVY8oqPVUGPTdrPYG7xdQ5AD6NpDDGDbq45L_UggqTZ/s1600/Azan+Ismail+01.jpgKUANTAN – Ketua Cabang Indera Mahkota, Azan Ismail kini mengambil alih semula sepenuhnya pentadbiran dan operasi PKR di cabang itu setelah bekas pemangkunya, Ibrahim Sidik berpaling tadah dan menyertai UMNO baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Terengganu berkata, kedudukan PKR dan Pakatan Rakyat di Indera Mahkota kini berada dalam keadaan yang cukup berbahaya dan perlu diselamatkan disebabkan ‘serangan’ yang dilakukan Barisan Nasional (BN) yang tidak henti-henti ketika ini.

Menurutnya, ‘serangan’ itu akan terus dilakukan BN sehinggalah keyakinan rakyat terhadap parti itu lenyap terutamanya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

“Pakatan Rakyat di Indera Mahkota merupakan cabang terkuat di negeri ini dan sebab itulah BN sehabis mungkin akan cuba ‘menyerang’ kami dalam pelbagai bentuk ‘serangan’ sehinggalah PRU ke-13 nanti.

“Bagaimanapun saya ingin ingatkan bahawa Pakatan Rakyat Indera Mahkota akan pertahankan cabang ini sebaik-baiknya dan tidak takut terhadap sebarang desakan atau tekanan untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat di kawasan ini,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya, di sini semalam.

Dalam pada itu juga beliau turut menafikan bahawa kenyataan mengenai ‘PKR Nazak’ yang disiarkan kelmarin merupakan satu kesilapan dan bukannya dikeluarkan olehnya.

Azan yang juga ahli Perlimen Indera Mahkota turut mengingatkan ahli-ahli Pakatan Rakyat Indera Mahkota dan juga di negeri ini supaya saling ingat mengingati agar tidak terjerat dengan helah BN seperti mana yang berlaku terhadap tiga individu parti itu sebelum ini.

“Soal mereka terima imbuhan atau tidak untuk lompat parti itu bukan soal kami, itu soal mereka dengan UMNO dan BN. Tetapi kami amat kecewa apabila amanah yang diberikan kepada mereka untuk menguruskan parti tidak dilaksanakan dengan betul sebaliknya sanggup menjadi ‘alat’ UMNO untuk memusnahkan parti ini,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat sebelum ini juga sudah lali dengan serangan-serangan sebegini dan beliau percaya tidak ada lagi ahli PKR cabang itu yang tulen akan melompat parti lagi.

Menurutnya, PKR Indera Mahkota mempunyai 760 ahli berdaftar dan mereka semua sudah berikrar untuk berdiri teguh bagi mempertahankan cabang itu daripada terus diserang.

“Biarlah apa yang berlaku baru-baru ini kita jadikannya sebagai satu iktibar dan apa yang penting adalah kejituan hati Pakatan Rakyat untuk terus berjuang membawa agenda rakyat dan saya yakin kekuatan kita sebelum ini masih lagi kukuh dan utuh,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatan Pengerusi PKR Terengganu untuk memberi tumpuan di Indera Mahkota, Azan menegaskan bahawa beliau dilantik jawatan itu adalah atas arahan pusat dan tanggungjawab itu akan terus dipikulnya sebagai satu amanah.

Menurutnya, fokus utamanya kini adalah bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk membentuk satu strategi yang kuat melalui Sekretariat Pakatan Rakyat yang sudah pun ditubuhkan sebelum ini bagi memastikan kemenangan mereka pada PRU ke-13 nanti akan dapat dipertahankan.

“Kami yakin Indera Mahkota masih mampu kami pertahankan kerana kami tahu apa kekuatan dan kelemahan kami yang perlu diperbaiki dan diperkuatkan terutamanya menjelang PRU ke-13 nanti,” katanya.SH

No comments: