Friday, April 22, 2011

Berita Harian tiada etika

PKR Kecam Laporan 'Sensasi' Berita Harian


SHAH ALAM 22 APRIL : Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution kesal dengan tindakan media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN), Berita Harian yang sengaja mensensasikan isu video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan kes masih dalam siasatan polis.

Malah, beliau amat kesal apabila Berita Harian hanya menjadi pekakas Umno-BN untuk merekayasa "perbicaraan melalui media" (trial-by-media) yang cukup jelas bernada politik demi mengaibkan dan terus-menerus menganiaya ahli parlimen Permatang Pauh itu.

Saifuddin berkata, PKR sekali gus menolak serta membantah sekeras-kerasnya laporan muka hadapan akhbar itu bertarikh 21 April 2011 yang mendakwa sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan telah menganalisis serta mengesahkan bahawa pelaku dalam video tersebut adalah sepadan dengan Anwar berdasarkan perincian saiz tubuh beliau dalam rekod polis.

Menurut akhbar kawalan Umno itu lagi, polis juga telah mengenalpasti lokasi video seks tersebut dirakamkan iaitu di sebuah kondominium pinggir Kuala Lumpur manakala wanita yang terbabit dalam video seks itu dipercayai seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

Selain itu, akhbar tersebut juga melaporkan siasatan polis tidak terlalu memfokuskan pada isu jam tangan Omega, yang sebelum ini didakwa kepunyaan Anwar yang diserahkan kepada polis bersama video berkenaan.

Tegas Saifuddin, syarikat Korea Selatan itu juga telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bahawa pihaknya harus menuruti segala kehendak barisan kepimpinan Umno-BN untuk melunaskan dendam kesumat mereka terhadap Anwar sekali gus menamatkan perjuangan reformasi politik ketua umum PKR itu.

" Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau," jelas Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Malah tambah Saifuddin, Anwar sendiri selama ini menafikan sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video berkenaan.

" Justeru kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam beberapa surat terbuka beliau," tambahnya lagi.

Justeru Saifuddin sekali mengingatkan empat laporan polis yang dibuat Anwar pada 9 Julai 1999 dan 20 Ogos 1999 mengenai salah guna kuasa sebilangan individu tersohor di negara ini.

Semalam Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencabar pihak berkuasa supaya mengemukakan bukti terhadap laporan analisis rakaman video seks agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan itu, yang mengatakan pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Anwar.

Rafizi Ramli berkata, analisis yang kononnya menggunakan proses biometrik itu tidak akan bermakna jika tidak disusuli dengan fakta dan bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan laporan akhbar Berita Harian semalam berjudul 'sepadan anwar' tidak lebih daripada agenda politik jahat UMNO BN untuk mengaburi mata rakyat.

“Kalau mereka betul-betul berani dan yakin bahawa laporan pakar tu betul dia patut bagi satu salinan kepada kita untuk kita juga hantar kepada pakar yang kita lantik," kata Rafizi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini bertindak menghantar sampel rakaman video seks itu kepada agensi penyiaran terkemuka itu untuk dianalisis, 4 April lalu.

Keputusan analisis kononnya menggunakan proses biometrik atau mesin imbasan diri berkomputer, itu diperolehi Acryl 10 April lalu.

No comments: