Sunday, April 17, 2011

Muak dengan kepimpinan Taib punca pengundi Cina beralih arah




KUCHING 17 APRIL : Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 10 semalam menunjukkan betapa rakyat Sarawak khususnya masyarakat Cina muak dengan kepimpinan tertinggi negeri yang dianggap terlalu lama.

Buktinya, Timbalan Ketua Menteri 1, Tan Sri George Chan Hong Nam yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tumbang di kalangan calon muda, Andrew Ling Sie Kiong dari Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri Piasau, dekat Miri.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir, hal ini disebabkan kepimpinan negeri yang terlalu lama memerintah sehingga menjadi satu beban politik negeri di ini.

" Bukan sahaja beliau (George Chan) berjanji akan berundur, KM Sarawak juga berjanji akan berundur. Tetapi rakyat atau pengundi di bandar atau luar bandar turut sangsi perkara ini. Saya masih ingat pada 7 November 1995, beliau (Taib) berjanji beliau akanberundur dalam 5 tahun lagi. Sepatutnya tahun 2000 tapi beliau tidak mahu berundur. Kemudian 2006, tak berundur kerana beliau kata orang di sekelilingnya tak mahu berundur akhirnya inilah beban politik Sarawak sekarang," kata beliau dalam rancangan khas Analisis Awani Khas sempena PRN Sarawak ke 10 semalam.

SUPP merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di negeri itu dan menyasarkan kaum Cina dan masyarakat bandar di Kuching, Miri dan Sibu sebagai khayalak politik mereka.

Bagaimanapun keputusan semalam menunjukkan betapa SUPP terkubur ekoran hanya mampu memenangi 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.

Chan tewas dengan majoriti 1,590 undi di Piasau yang dimenanginya dengan majoriti hampir 4,000 undi pada 2006 kepada calon muda DAP yang pertama kali bertanding, Ling.

Selain Chan yang menerajui kepimpinan negeri sejak 1983, hanya dua pemimpin Cina SUPP iaitu Datuk Sri Wong Soon Koh di Bawang Assan dan Datuk Lee Kim Shim di Senadin yang mempertahankan kerusi mereka. Empat lagi kerusi SUPP dimenangi di kawasan majoriti Dayak.

Dr Jeniri menyatakan kesedaran masyarakat Cina dan faktor calon muda yang dikemukakan mereka berkesan dalam mengajak masyarakat Sarawak untuk berubah.

"Bagi masyarakat Cina, kepimpinan negeri yang terlalu lama merupakan ibu kepada segala masalah. Mereka mahu melihat perubahan kepimpinan negeri. Selagi kepimpinan negeri yang berada di atas tidak berubah, dasar tetap akan sama. Kepimpinan negeri perlu berubah supaya dasar yang tidak memihak kepada mereka tak berubah," kata Dr Jeniri lagi.

Menurut beliau 'kedegilan' Chan yang terus mengemukakan muka lama yang sudah tidak relevan menunjukkan betapa mereka tidak menyedari keadaan itu tidak seperti sekutu mereka PBB yang merombak calon mereka di beberapa kawasan.

"Penting juga melihat sebahagian calon muda usia 25, tahun 35, 40 tahun supaya proses peralihan kuasa dan darah muda ada. Dan hanya pemimpin muda yang faham apa yang dikehendaki orang muda ini, khususnya di Sarawak yang 33 peratusnya pengundi muda,"tambahnya lagi.

No comments: