Monday, April 11, 2011

Rakyat Sarawak jangan kena bohong dengan Najib

"Taib Akan Letak Jawatan" Hanya Gimik Politik Najib, Kata Anwar


KUCHING 11 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Sarawak supaya tidak termakan dengan gimik "Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan letak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak" sekiranya Barisan Nasional terus diberi mandat pada 16 April ini.

Gimik terbaru Barisan Nasional itu katanya hanya suatu pembohongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, Anwar minta Najib yang juga Presiden Umno mengumumkan pula tarikh persaraan Taib serta menamakan pengganti Taib.

"Persoalannya, apakah ini suatu lagi gimik politik murahan Datuk Seri Najib untuk mengaburi mata rakyat.

"Kalau benar telahan beliau bahawa Taib perlu berhenti, soalnya tahun bila, (pada tahun) 2015 atau (tahun)2020.

"Keduanya, siapakah pengganti (Taib)...adakah adik beliau setelah gagal menonjolkan anak beliau," soal Anwar sambil menganggap Najib cuba memperbodoh rakyat pribumi di sini.

Jelas Anwar, adik Taib bernama Datuk Sri Mohd Ali Mahmud yang juga calon BN di DUN Muara Tuang. Manakala, anak Taib bernama Sulaiman Abdul Taib yang juga Ahli Parlimen Samarahan.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri era Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hakikatnya Najib dalam konteks sekarang tidak mampu mengetepikan Taib begitu sahaja kerana sebelum ini Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri juga gagal mengetepikan Taib.

Katanya lagi, kekuasaan Taib boleh dilihat pada satu kenyataan di akhbar News Strait Times (NST) pada 7 November 2005 di mana Taib pernah berjanji untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, adalah mustahil untuk mengetepikan Taib di saat ini kerana pentadbiran Najib bukan sahaja tidak mendapat mandat daripada Barisan Nasional bahkan tidak pernah direstui Barisan Nasional Sarawak.

Nada yang sama juga turut disuarakan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

"Percayalah saya, ketua menteri Sarawak (Taib) tidak akan berhenti (kerana) Najib tidak mendapat mandat dalam pilihan raya (umum ke-12 lalu) dan dia hanya menyambung mandat Tun Abdullah sahaja.

"(Justeru) apa jaminan bahawa Ketua Menteri Taib Mahmud akan meletak jawatan di era Najib," soalnya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Katanya, dari segi lain pula, usaha Najib yang mahu mengetepikan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak juga semakin mustahil kerana Taib sebelum pilihan raya negeri baru-baru ini telahpun mendapatkan mandat daripada parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PPB) yang merupakan parti paling dominan dalam Barisan Nasional Sarawak.

"Perlu diingat bahawa mandat PBB itu diberikan selepas kongres, iaitu Taib Mahmud mendapat mandat tertinggi untuk memimpin BN pada pilihan raya kali ini.

"Ertinya, mana mungkin Najib (yang tiada mandat) boleh mengetepikan najib," tegas Saifuddin sambil mendakwa Najib terdesak sehingga sanggup mengelirukan rakyat di sini.

Tambah Saifuddin, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa rancangan Najib untuk mengetepikan Taib seakan-akan mendapat isyarat dari pemimpin tertinggi PBB dan Barisan Nasional Sarawak sendiri yang tidak menyenangi perkara itu.

"Kata ketua penerangan PPB, Taib hendaklah diberikan masa untuk membuat keputusan.

"Inilah gambaran betapa berkecamuknya politik dalam BN ketika ini," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Saifuddin berkata, iltizam politik Najib mahu berkampung di Sarawak sehingga 15 April ini menggambarkan bahawa Presiden Umno itu tidak percaya dengan kemampuan Taib serta mahu mengambil alih jentera Barisan Nasional Sarawak.

Jelas Saifuddin lagi, gambaran ini sekali gus menunjukkan bahawa Najib serta Umno cuba untuk menguasai Sarawak sebagaimana parti perkauman itu menguasai Sabah ketika USNO lemah.

"Dalam bahasa politiknya Najib telah mengambil alih seluruh jentera BN pada pilihan raya kali ini.

"Apakah dengan ini juga memberi gambaran bahawa Umno juga akan masuk serawak sebagaimana Umno masuk Sabah apabila Usno gagal di Sabah.

"Semuanya telah diambil alih oleh presiden Umno, beginilah kuatnya pengaruh Umno dalam politik Sarawak," sindir Saifuddin sambil mengajak rakyat Sarawak supaya menolak usaha licik Umno.

No comments: