Saturday, May 28, 2011

Bubar DUN : Kedah ikut keputusan Majlis Pimpinan PR

http://2.bp.blogspot.com/_vGi46E7srto/TU8wz0R1ExI/AAAAAAAAFYI/ekS7H2CiU28/s400/Datuk%2BSri%2BAzizan%2BRazak%252C%2BMB%2BKedah.jpgALOR SETAR - Kedah menyerahkan keputusan pelaksanaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) kepada Majlis Presiden PR jika pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perkara itu sebenarnya telah dikaji Kerajaan Negeri dan keputusan akan ditentukan berdasarkan strategi dirangka.

Menurutnya, kajian dilakukan merangkumi persoalan sama ada keputusan itu akan beri keputusan positif atau negatif kepada parti pada PRU-13 nanti.

“Kuasa hendak bubarkan DUN dan Parlimen terletak kepada kerajaan memerintah. Jika di peringkat Parlimen, sudah tentu Perdana Menteri dan di peringkat negeri, kuasa pada tangan Menteri Besar.

“Jika kerajaan negeri di bawah PR bersetuju hendak bubar serentak dengan Parlimen, kita akan bubarkan DUN masing-masing. Tapi dalam konteks Kedah, strategi terbaik perlu diambil kira,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Mempelam Kedah 2011 di Pekan Rabu di sini, semalam.

Azizan berkata, selain menyerahkan keputusan di tangan Majlis PR, Kerajaan Negeri turut mengambil kira keputusan Pas Pusat hasil perbincangan dengan parti komponen PR.

“Tidak semestinya kita tunggu (adakan pilihan raya) lambat, kita akan kalah kerana ianya bergantung kepada penerimaan dan persepsi rakyat terhadap parti bertanding.

“Bagaimanapun, saya fikir Kerajaan Pusat sukar untuk memutuskan tarikh PRU memandangkan sokongan rakyat masih belum dapat diramal sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP akan menyarankan semua pucuk pimpinan PR agar semua negeri di bawah PR tidak membubarkan DUN masing-masing jika PRU diadakan tahunan itu.

Kenyataan itu disokong oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Ir Zamri Yusof dan menyarankan pembubaran DUN dilaksanakan selepas tempoh pentadbiran PR di negeri ini memasuki empat tahun.

No comments: