Wednesday, June 15, 2011

Ahmad Maslan gelabah jawab soalan Felda




KUALA LUMPUR 16 JUN : Felda hari ini mengaku membuat pinjaman RM6bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja namun menegaskan agensi itu tidak bermasalah membayar semula pinjaman itu.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan memberitahu Parlimen, Felda mencatat keuntungan Rm1.197 bilion tahun lalu dan nilai keseluruhan syarikat itu adalah RM19.18 bilion.

Bagaimanapun Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing.

Pelaburan itu, menurut Anwar, menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu.

" Kenapakah pinjaman yang dibuat itu tidak pernah dibentangkan di Parlimen yang mewakili rakyat Malaysia?

" Siapakah yang mengarahkan KWSP untuk meminjamkan jumlah besar wang tersebut kepada Kumpulan Felda? Kami juga percaya pelaburan luar negara yang dibuat oleh Kumpulan Felda dengan menggunakan wang yang dipinjam daripada KWSP itu semuanya mengalami kerugian. Kami percaya bahawa semua pelaburan luar negara yang dibuat oleh Felda Global dengan menggunakan pinjaman wang KWSP itu dalam Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia, semuanya mencatatkan kerugian terkumpul daripada tahun 1997 hingga 2010 hampir RM500 juta dan kebodohan pengurusan Felda Global Ventures adalah setara kalaupun tidak lebih besar daripada salah urustadbir Sime Darby,"soal Anwar dalam satu kenyataan media.

Malah lebih malang ujar Anwar, rakyat pula terpaksa menanggung beban akibat daripada kesilapan yang dilakukan oleh Felda.

"Dengan kerugian yang dialami Felda Global Ventures dalam pelaburan luar negara itu, kami difahamkan pinjaman daripada KWSP itu tidak akan dibayar tetapi akan dilanjutkan tempoh pembayarannya yang sudah tentu ditanggung oleh rakyat. Kami percaya bahawa Perdana Menteri tidak tahu menahu seteruk itu kerugian yang dialami oleh Felda Global Ventures dalam pelaburan luar negaranya kerana kerugian itu diselindung dengan keuntungan besar Felda Global dalam perniagaan minyak kelapa sawit saban tahun,"ujarnya lagi.

Menteri yang bertanggungjawab, Ahmad juga gagal untuk memberikan jawapan kepada Anwar kerana tidak mempunyai maklumat penuh mengenainya.

Pinjaman RM6 bilion oleh Felda itu didedahkan oleh Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman pada bulan lalu, namun ia tidak disahkan oleh Felda sehingga kenyataan Ahmad hari ini.

Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009.

Peneroka Felda dilihat sebagai “simpanan tetap” Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah.

Tahun lalu, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diharamkan dan disaman kerana mendakwa Felda mungkin bangkrap jika terus menanggung kerugian akibat pemborosan dan pelaburan yang tersasar.

No comments: