Wednesday, June 8, 2011

GEMPAR : Bangla dan Vietnam bertempur kerana seorang perempuan

http://www.banglanews24.com/images/imgAll/2011April/SM/Bangladesh-Vietnam-smm20110418203722.jpgNILAI - Seramai 23 pekerja lelaki dari Vietnam dan Bangladesh cedera dalam satu pergaduhan di asrama pekerja kilang tekstil di Taman Semarak, di sini malam tadi, dipercayai kerana seorang wanita Vietnam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata, tiga daripada mereka, iaitu dua warga Vietnam dan seorang Bangladesh terpaksa dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, manakala yang lain hanya mendapat rawatan pesakit luar.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9 malam. Pergaduhan itu membabitkan sekurang-kurangnya 400 pekerja negara terbabit. Kebanyakan pekerja asing terbabit bersenjatakan kayu dan batang besi selain batu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan dengan campur tangan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan pada kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas seorang lelaki Bangladesh mengusik seorang wanita Vietnam semasa bekerja syif malam pada Isnin lalu.

"Wanita Vietnam ini tidak berpuas hati dan menelefon rakan-rakannya di asrama, dan selepas itu lelaki Bangladesh tersebut telah dipukul oleh beberapa lelaki Vietnam.

"Akibat daripada pergaduhan tersebut, kedua-dua puak pekerja ini tidak puas hati menyebabkan ia melarat dari kilang ke asrama," katanya.

Asrama itu katanya, menempatkan lebih 3,000 pekerja asing meliputi 1,037 pekerja lelaki Vietnam, 703 wanita Vietnam dan 1,409 pekerja lelaki Bangladesh.

Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dibuat, katanya yang turut meminta penduduk di kawasan sekitar asrama berkenaan agar tidak bimbang kerana pihaknya masih memantau keadaan.

"Setakat ini kilang terbabit ditutup buat sementara waktu sehingga keadaan pulih semula," katanya. - Bernama

No comments: