Tuesday, June 14, 2011

Jawatankuasa Negara Berkebajikan dilancar Khamis ini

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/06/04/Salahudin%20Ayob.pngKUALA LUMPUR - Bagi merealisasikan negara berkebajikan Pas akan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dilancarkan Khamis ini.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membincangkan tugas jawatankuasa itu selain daripada agenda untuk diguna pakai bagi negara berkebajikan.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan dianggotai Presiden, Naib Presiden serta beberapa tenaga mahir terdiri daripada ahli parti dan orang persendirian.

”Kami juga akan melancarkan buku khas mengenai negara berkebajikan diambil contoh daripada Buku Jingga di mana secara tidak langsung akan menjadi manifesto untuk pilihan raya akan datang.

”Antara agenda yang terdapat dalam buku berkenaan adalah mengenai konsep negara berkebajikan yang akan diperkenalkan oleh Pas kepada rakyat,” katanya di lobi Parlimen.

Salahuddin berkata, dalam buku berkenaan Pas akan terangkan secara lebih mendalam dan menyifatkannya tawaran paling relevan kepada rakyat.

Beliau berkata, negara berkebajikan yang diperkenalkan itu adalah gabungan yang tidak terdapat di mana-mana negara, iaitu melibatkan ketuhanan dan kemanusiaan dan ia tanggungjawab daripada yang berkuasa kepada rakyat.

”Negara berkebajikan berteraskan Islam ini adalah sebahagian daripada jalan penyelesaian kerana ia melibatkan konsep tolong menolong, kebajikan dan ihsan.

”Selain itu ia akan memperkukuhkan institusi zakat dan sedekah,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mencadangkan Pas segera menubuhkan jawatankuasa kerja yang dianggotai oleh pemikir aktif dan realis bagi merangka tindakan konsep negara berkebajikan kerana berlaku pertembungan antara pemerintah dan pembangkang.SH

No comments: