Tuesday, June 14, 2011

Utusan mohon maaf di muka hadapan, Tok Guru tarik balik saman fitnah RM 20 juta

http://inksensei.files.wordpress.com/2011/04/utusan-meloya.jpgKOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman fitnah berjumlah RM20 juta yang difailkan terhadap sebuah syarikat media arus perdana berkait isu penyiaran sebuah artikel oleh akhbar tersebut, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Yazid Mustafa mendengar kes itu merekodkan penyelesaian saman sejurus Nik Abdul Aziz selaku plaintif bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Beliau sebelum itu mengemukakan saman tuntutan RM20 juta terhadap syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Bhd, Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdul Aziz Ishak dan wartawan, Rodelio Junjun Taucan berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘Nasihat saya mesti didengar’ pada 15 Jun 2009.

Peguam mewakili defendan, Mohana Kumar berkata, plaintif bersetuju menarik balik saman tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa kos.

“Selepas penyiaran artikel 15 Jun itu, Utusan Malaysia bertindak menyiarkan artikel penafian Nik Abdul Aziz mengenai kandungan artikel ‘Nasihat mesti didengar’ tiga hari berikutnya.

“Manakala, pada 29 Julai tahun sama, Utusan Malaysia menyiarkan permohonan maaf di muka hadapan Utusan Malaysia dan laman web Utusan Online,” katanya.

Menurutnya, namun demikian, plaintif dengan diwakili firma guaman Tetuan C Jegathesan, masih meneruskan tuntutannya itu.

“Walau bagaimanapun, plaintif akhirnya bersetuju menarik balik saman tersebut, semalam,” katanya.

No comments: